Operasi cari dua tentera hilang di Pulau Perak dihentikan

Kehilangan dua anggota iaitu Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam 19 Julai bagi mengira kekuatan anggota.
Kehilangan dua anggota iaitu Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam 19 Julai bagi mengira kekuatan anggota.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dilaporkan hilang di Pulau Perak, Kedah pada Julai lalu, ditamatkan.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sebagai agensi peneraju atas kesahihan jelas bahawa tiada sebarang petunjuk dan tiada penemuan sebarang jasad setelah 72 jam operasi dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di Kawasan Operasi Maritim (KOM) sekitar perairan Pulau Perak diarah meneruskan pencarian dan berada di lokasi sehingga 26 Julai, namun tiada sebarang petunjuk positif ditemui untuk mengaitkan kehilangan kedua-dua anggota berkenaan.

"Sehingga kini, kapal TLDM masih berada di KOM sekitar Pulau Perak untuk melaksanakan rondaan maritim dan diarah melaporkan segera jika terdapat sebarang petunjuk baharu.

"Manakala sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga sentiasa diletakkan di bawah siap sedia untuk diatur gerak dari Pangkalan Udara Butterworth pada bila-bila masa," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah mengabaikan kebajikan anggota dan sentiasa berpandukan peraturan sedia ada baik dalam maksud pentadbiran, latihan mahupun operasi.

Jelasnya, dalam perkara ini, segala usaha sudah dilaksana ATM dan agensi berkaitan berlandaskan Perintah Tetap Operasi (Standard Operating Procedure) untuk mengesan kedua-dua anggota yang hilang.

"Sebarang dakwaan daripada mana-mana pihak bahawa ATM tidak prihatin dalam isu ini adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kehilangan dua anggota iaitu Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam 19 Julai bagi mengira kekuatan anggota.

ARTIKEL BERKAITAN: ATM usaha cari tentera hilang