Tulisan jawi: Jangan cipta alasan sekat usaha kerajaan

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana pihak tidak perlu mencipta alasan kononnya pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi dan seni khat dalam buku teks Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan akan mendatangkan akibat kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, ia adalah dangkal dan tidak menolak alasan itu satu rekayasa untuk menyekat usaha kerajaan memelihara seni serta memartabatkan tulisan jawi di negara ini menerusi pendidikan dan pembelajaran.

“Seni khat dan tulisan jawi merupakan antara asas sejarah peradaban negara ini yang mana penggunaannya dalam penulisan bahasa Melayu telah berfungsi sebagai 'lingua-franca' dalam bidang ilmu, ekonomi, diplomatik dan sebagainya seperti mana bahasa Melayu Kuno yang terdahulunya menggunakan tulisan Rencong.

"Saya kira hanya orang buta sejarah dan perkauman sempit sahaja akan membantah usaha kerajaan untuk melaksanakan seni khat dan tulisan jawi dalam pengajian bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

“Saya yakin, ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum tidak ada masalah selain ingin mendalami seni khat dan tulisan jawi seperti seni kaligrafi Cina dan India," katanya.

Abu Bakar mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Profesor Dr P Ramasamy menerusi Facebooknya hari ini yang mensasarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu jawi: 90 NGO serah memorandum kepada Dong Zong

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri mengingatkan Ramasamy supaya tidak keliru dengan pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi kerana asas pertuturannya adalah dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Bahasa Melayu sama ada ditulis dalam tulisan jawi atau rumi merupakan bahasa perpaduan. Apa yang jadi masalah bagi beliau (Ramasamy) sehingga membuat kenyataan kononnya Perdana Menteri tidak memahami akibatnya dalam sebuah masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia?.

“Pada pandangan saya, Perdana Menteri lebih memahami daripada Ramasamy sendiri. Bagi saya, sudah tentunya Perdana Menteri mengutamakan perpaduan rakyat menerusi penggunaan bahasa kebangsaan,” tegasnya.

Terdahulu, dalam hantaran Facebooknya, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu mendakwa sukar mempercayai kenyataan Dr Mahathir yang mahu memaksa penguatkuasaan pelaksanaan khat tanpa memahami akibatnya dalam masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan tidak ada gunanya bercakap tentang Menteri Pendidikan yang bukan sahaja merosakkan kemasukan matrikulasi, tetapi telah menegur bukan Melayu kerana tidak memberikan peluang sama kepada orang Melayu dalam sektor swasta.