Bot karam, PATI tak sempat pulang beraya

Mohammad Rosli (kanan) menunjukkan antara PATI yang ditahan di jarak kira-kira 2.8 batu nautika dari Sungai Kurau, Selangor pagi tadi.
Mohammad Rosli (kanan) menunjukkan antara PATI yang ditahan di jarak kira-kira 2.8 batu nautika dari Sungai Kurau, Selangor pagi tadi.
A
A
A

KLANG - Kesanggupan 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia berhimpit di dalam bot usang mengundang padah selepas bot dinaiki mereka hampir tenggelam sebelum berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di jarak 2.8 batu nautika dari Sungai Kurau, Selangor pagi tadi.

Menceritakan detik cemas itu, Suriati, 45, berkata, dia nekad membayar RM800 kepada agen untuk pulang ke Sumatera, Indonesia.

"Semasa kejadian, dia langsung tidak menyangka bot yang dinaikinya itu akan bocor.

"Keadaan penumpang bot masa itu bertukar sedikit riuh. Memang saya takut masa itu dengan bot yang sudah tidak stabil. Mujur Maritim berjaya menemui dan selamatkan kami," katanya ketika ditemui di Maritim Pelabuhan Klang hari ini.

Suriati turut mengakui bot yang dinaiki itu melebihi muatan.

"Saya pernah pulang sebelum ini menaiki bot seperti itu tapi jumlah penumpang masa itu tak ramai, sekitar 20 orang sahaja," katanya.

Bot nelayan PATI gagal menampung muatan sebelum karam di jarak kira-kira 2.8 batu nautika dari Sungai Kurau, Selangor pagi tadi. (Gambar kecil, bot nelayan PATI gagal menampung muatan sebelum karam pagi tadi.)
Bot nelayan PATI gagal menampung muatan sebelum karam di jarak kira-kira 2.8 batu nautika dari Sungai Kurau, Selangor pagi tadi. (Gambar kecil, bot nelayan PATI gagal menampung muatan sebelum karam pagi tadi.)

Sementara itu, Pengarah APMM negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot nelayan sepanjang 29 kaki itu dikesan anggotanya kira-kira jam 6 pagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk memindahkan kesemua PATI terdiri daripada 45 lelaki dan 23 wanita serta tiga kanak-kanak sebelum bot tersebut tenggelam tidak lama kemudian.

"Kita mendapati terdapat kebocoran pada bahagian enjin bot kayu itu sebelum kesemua PATI tersebut dipindahkan ke bot ronda Maritim. Tidak tolak kemungkinan faktor lebihan muatan serta bot yang usang menjadi punca kejadian tersebut," katanya.

Mohammad Rosli berkata, siasatan awal dipercayai kesemua PATI itu hendak pulang ke Indonesia sempena perayaan Aidiladha.

Tegasnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti agen serta dalang terbabit dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.