Kementerian Pelancongan nafi kurang promosi TMM2020

Mohamaddin
Mohamaddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan dakwaan sesetengah pihak berhubung promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) di luar negara kurang.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, promosi sedang giat dijalankan di luar negara termasuk di China, Bosnia, India dan United Kingdom.

Menurutnya, promosi kempen giat dijalankan sehingga hujung tahun ini termasuk di 38 pejabatnya di luar negara.

"Promosi di luar negara sentiasa berjalan, sebagai contoh, bulan Ogos kita akan adakan promosi di China dan Bosnia.

"Promosi kita bukan kurang tetapi setakat ini bertambah," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Ketua Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nuzuddin.

Beliau berkata, perjumpaan itu bagi membincangkan kerjasama MOTAC dan MAHB khususnya dalam sektor pelancongan.

Mengulas mengenai penemuan itu, Mohamaddin berkata, beliau dimaklumkan MAHB kini sedang dalam perbincangan bersama beberapa syarikat penerbangan antarabangsa yang berminat untuk beroperasi di Malaysia.

Katanya, pihaknya mendapat permintaan dari India dan Asia Barat dan dijangka ia bakal beroperasi hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai khabar angin ketua setiausahanya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, beliau memberitahu tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Baru saya dengar... kalau KSU dahulu saya dengar memang ada kena soal sedikit sahaja. Yang sekarang, saya pun tidak tahu," katanya.

Terdahulu, Tourism Malaysia melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di beberapa bandar raya utama di India pada Isnin untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari pasaran utama sumber

Tiga puluh tujuh pemain industri pelancongan dari Malaysia, termasuk sembilan hotel, tiga syarikat penerbangan dan beberapa operator pelancongan menyertai kempen dari 22 hingga 25 Julai di Amritsar, Mumbai dan Hyderabad.