Pulau Pinang beri peluang PATI pulang secara sukarela

Muhamad Husni membuat tinjauan di kaunter program B4G yang dibuka di Pejabat Jabatan Imigesen Pulau Pinang di Seberang Jaya semalam.
Muhamad Husni membuat tinjauan di kaunter program B4G yang dibuka di Pejabat Jabatan Imigesen Pulau Pinang di Seberang Jaya semalam.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Dalam menangani masalah lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini, Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang melaksanakan Program Back For Good (B4G) bagi memberi peluang kepada mereka untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, program berkenaan telah dimulakan sejak 1 Ogos lalu dan akan berlangsung sehingga 31 Disember tahun ini.

Menurutnya, program berkenaan memberi peluang kepada PATI terutama mereka yang melakukan kesalahan tinggal di negara ini melebihi masa yang ditetapkan dan tidak mempunyai dokumen serta pas yang sah tinggal di negara ini untuk pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan pendakwaan.

"Setakat ini, kita telah memproses 189 permohonan PATI dan kebanyakan permohonan yang diterima adalah daripada warga Indonesia iaitu seramai 133 orang.

"Bagi PATI yang berminat untuk menyertai program ini mereka hanya perlu membawa pasport atau dokumen perjalanan bersama tiket untuk pulang ke negara asal dalam tempoh tujuh hari selain akan dikenakan kompaun sebanyak RM700 setiap seorang," katanya pada sidang media di sini tengah hari tadi.

Muhamad Husni berkata, selain PATI dari Indonesia pihaknya juga menerima permohonan dari 19 PATI India, 14 dari Bangladesh, 9 Myanmar, 5 Nepal, 4 Pakistan serta masing-masing seorang dari Cameroon,Vietnam dan Filipina.

Dalam pada itu, Muhamad Husni berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi bagi menerima kehadiran PATI di pejabat Jabatan Imigresen negeri di Seberang Jaya di sini sebaik sahaja permohonan tersebut dibuka.

Tambahnya, mereka yang mendaftar program B4G secara automatik akan disenarai hitam untuk kembali ke negara ini.

Artikel Berkaitan: