Lima lelaki terlibat sindiket pinjaman tidak wujud ditahan

Anbalagan
Anbalagan
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menahan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan menawarkan pinjaman tidak wujud di sekitar negeri ini, Kedah dan Terengganu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kegiatan mereka bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial membuat serbuan di sebuah kondominium di Lebuh Kudin, Gelugor, di sini pada 30 Julai lalu.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 23 hingga 32 tahun ditahan susulan aduan kes penipuan yang dibuat seorang mangsa pada April lalu.

"Hasil siasatan mendapati suspek mengiklankan pinjaman wang melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa.

"Bagaimanapun pinjaman ini sebenarnya tidak wujud dan mangsa akan menyedari mereka tertipu selepas memasukkan wang ke dalam akaun suspek," katanya ketika dihubungi di sini.

Anbalagan berkata, siasatan awal dibuat mendapati sindiket berkenaan dikatakan akan menghantar iklan pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah sehingga menyebabkan mangsa tertarik.

Katanya, mangsa berminat membuat pinjaman berjumlah RM1,000 dan memberi butiran seperti nombor kad pengenalan serta akaun bank kepada suspek.

"Suspek memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam akaun mangsa tanpa persetujuan serta tanpa pengetahuan mangsa dan kemudian suspek mendesak mangsa untuk membuat pembayaran semula pinjaman sebanyak RM1,200.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan bimbangkan keselamatan dan sering didesak oleh suspek, mangsa kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun suspek lalu membuat laporan polis," katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek didapati menggunakan modus operandi yang sama dalam kesemua lapan kes penipuan itu yang dianggarkan menyebabkan kerugian sehingga RM98,000.

"Polis merampas 21 buah telefon bimbit dan 26 kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang dipercayai bukan milik suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951," katanya.