Yadim sokong pengenalan tulisan jawi, seni khat: Nik Omar

Nik Omar
Nik Omar
A
A
A

PUTRAJAYA - Tulisan jawi sebelum ini telah lama berada dalam jalur budaya masyarakat berbilang kaum negara yang digunakan dalam persuratan rasmi dan bukan rasmi tanpa wujud sebarang masalah, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata pihak yang resah terhadap langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan seni Khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu bagi Tahun Empat mulai tahun hadapan, diseru supaya melihat isu itu dari aspek pendidikan dan warisan sejarah.

"Yadim berharap agar Kementerian Pendidikan akan bertegas dalam isu ini, serta tidak tunduk kepada desakan-desakan pihak yang menentang langkah ini, demi memelihara warisan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Yadim menyokong penuh usaha kerajaan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dan seni khat dan yakin ia akan meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap tulisan Jawi dan Bahasa Arab, serta memudahkan mereka untuk mempelajari Al-Quran serta memahaminya seterusnya beramal dengannya.

"Dengan memartabatkan tulisan Jawi dan seni Khat, kekayaan seni budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai dengan penggunaan tulisan berbeza mengikut kaum semakin jelas diraikan," katanya.

Mengulas lanjut katanya sebagai sebuah negara berbilang kaum, proses silang budaya perlu terus disemarakkan kepada setiap anggota masyarakat dalam mempelajari dan menghormati budaya kaum lain, termasuklah bahasa dan tulisan. -Bernama

Artikel Berkaitan: