Penjawat awam terlibat rasuah membimbangkan

Shamshun Baharin
A
A

KUALA TERENGGANU- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat kegiatan rasuah dalam kalangan kakitangan awam di tahap membimbangkan apabila sejumlah 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah membabitkan golongan itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, angka itu melibatkan tangkapan yang dibuat pihaknya sejak 2014 hingga Jun tahun ini.

Menurutnya, daripada dapatan yang diperoleh, kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan.

“SPRM juga ada membuat satu kajian yang mana kita dapati 22.1 peratus daripada responden penjawat awam kata mereka sanggup terima rasuah sekiranya mereka ada kuasa. Maknanya kalau di kalangan penjawat awam yang masih bekerja boleh kata begitu, itu bahaya.

“Apa yang lebih merisaukan adalah 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah adalah golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Shamshun (kiri) sewaktu menyaksikan Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) oleh Dr Ahmad Samsuri di sini hari ini.
Shamshun (kiri) sewaktu menyaksikan Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) oleh Dr Ahmad Samsuri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamshun Baharin berkata, seramai 99 individu ditahan kerana terbabit rasuah sejak 2017 hingga Jun tahun ini di Terengganu, dengan 53 orang daripadanya penjawat awam.

Daripada jumlah itu, 10 orang melibatkan penjawat awam negeri manakala 43 orang lagi adalah penjawat awam Persekutuan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua kerajaan negeri dicadangkan untuk membawa usul supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta seperti yang dilakukan di Parlimen dan kerajaan negeri Perak.

“Jika usul itu diterima di peringkat DUN, maka semua ADUN akan mengisytiharkan harta mereka kepada Yang Dipertua DUN dan satu salinan lagi akan diserahkan kepada ibu pejabat SPRM.

“Kita harap semua kerajaan negeri akan mengambil langkah sama untuk memperlihatkan ketelusan daripada segi pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia