Permohonan FGV Holdings batal saman diketahui 1 November

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan FGV Holdings Berhad dan 10 pihak lagi untuk membatalkan tuntutan balas yang dikemukakan lima bekas pengarah bukan eksekutif organisasi tersebut susulan dakwaan kerugian yang dialami membabitkan pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada 2014 akan diketahui 1 November depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar selepas mendengar permohonan lima individu tersebut yang diwakili peguam Fahda Nur Ahmad Kamar dan hujahan balas peguam Ang Hean Leng bertindak bagi pihak FGV Holdings dan 10 pihak lain.

Kelima-lima pengarah bukan eksekutif tersebut disaman oleh FGV yang menuntut RM514 juta berhubung dakwaan kerugian yang timbul daripada pengambilalihan atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan daripada pengambilalihan APL.

Mereka ialah Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai kes, Fahda berkata, pihaknya berhujah bahawa tuntutan saman oleh FGV menyalahgunakan proses mahkamah apabila syarikat itu membawa tindakan undang-undang terhadap bekas pengarah bukan eksekutif syarikat berkenaan.

"Wang RM514 juta yang dituntut oleh FGV adalah hutang syarikat tersebut," katanya.

Sementara itu, pihak FGV pula berhujah bahawa tuntutan balas berkenaan adalah remeh, mengaibkan dan menyalahgunakan proses mahkamah serta kelima-lima individu tersebut tidak mempunyai kausa tindakan munasabah untuk memfailkan tuntutan balas tersebut.

Lima individu itu selaku plaintif memfailkan tuntutan balas pada 11 Februari lalu dengan menamakan syarikat terbabit dan 10 yang lain terdiri daripada pengerusi serta pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif FGV selaku defendan.

Artikel Berkaitan:

Sepuluh individu itu ialah Datuk Azhar Abdul Hamid, Mohd Hassan Ahmad, Datuk Dr Othman Omar, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Datin Hoi Lai Peng, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Dr Nesadurai Kalanithi, Datuk Mohd Anwar Yahya dan Datuk Mohamed Suffian Awang.

Pada 23 November 2018, FGV memfailkan saman menuntut RM514 juta dan ganti rugi lain terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan APL pada 2014.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, individu lain yang dinamakan sebagai defendan ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Pengerusi FGV pada masa itu; bekas Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha; bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran Farisan Mokhtar; dan dan bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran Rasydan Alias Mohamed.

Sembilan yang lain ialah bekas pengarah bukan eksekutif FGV iaitu Ismee, Wan Abdul Aziz, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd, Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada 2014.