Mazlee jawab 10 soalan berkenaan tulisan khat dalam Bahasa Melayu

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkongsi ciapan di Twitter miliknya berkaitan jawapan 10 soalan lazim berkenaan isu tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil hari ini.

1.Apakah yang berlaku?

KSSR (Semakan) bagi subjek Bahasa Melayu Tahun 4 telah diperkenalkan seni tulisan khat sebagai pengisian tambahan.

2.Apakah tujuan pengenalan tulisan khat ini dilakukan?

Ia dilaksanakan sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu

3.Bagaimana pengisian ini dilakukan?

Pengisian ini dilaksanakan melalui pembelajaran di dalam buku teks Bahasa Melayu. Terdapat enam muka surat aktiviti seni bahasa berkaitan tulisan khat dimuatkan di dalam buku teks setebal 164 muka surat.

4.Adakah murid akan menguasai Jawi melalui 6 muka surat ini?

Artikel Berkaitan:

Seperti dijelaskan tadi, ia dilaksanakan untuk memperkenalkan tulisan khat bagi meningkatkan pengetahuan murid mengenai aspek seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu. Sehubungan itu, ia bukan satu pembelajaran komprehensif untuk menguasai Jawi.

5.Adakah ia berlaku di SJK sahaja?

Tidak. Pengenalan ini melibatkan semua Sekolah Kebangsaan (SK) dan SJK.

6.Bilakah keputusan ini dibuat?

Perancangan pengenalan tulisan khat ini telah dilaksanakan melalui semakan semula Kurikulum Standart Sekolah Rendah (KSSR) sejak tahun 2014.

7.Adakah untuk Tahun 4 sahaja?

Pengenalan tulisan khat ini adalah untuk Tahap 2 dengan melibatkan Tahun 4 pada tahun 2020, Tahun 5 pada tahun 2021 dan Tahun 6 pada tahun 2022. Murid Tahap 1 (Tahun 1 hingga 3) tidak terlibat dengan pengenalan tulisan khat.

8.Adakah tulisan khat ini akan diuji dalam ujian dan peperiksaan?

Tidak. Tiada pentaksiran akan dijalankan bagi tulisan khat.

9.Kenapa memaksa murid bukan Melayu mempelajari tulisan khat?

Ia bukan paksaan sebaliknya satu usaha untuk meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu. Tambahan pula, tulisan jawi juga telah diajar di SJK melalui mata pelajaran Bahasa Melayu sejak 2015 lagi. Ini boleh dirujuk kepada buku teks Bahasa Melayu untuk SJK Tahun 5 cetakan 2015 di muka surat 85 hingga 88 (bawah tema 6 Menghargai Budaya Bangsa Unit 17 seni Tulisan).

10.Mengapa tulisan khat dan tidak memberi fokus kepada coding dan cabang ilmu lain?

Tulisan khat merupakan pengisian tambahan yang relevan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. KPM memperkenalkan coding atau pengekodan kepada murid sekolah rendah dan menengah dalam pelaksanaan Kurikulum Standart Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standart Sekolah Menengah (KSSM) Semakan 2017.

Di sekolah rendah ia melibatkan murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6). Manakala untuk sekolah menengah melibatkan Tingkatan 1 hingga 3. Aspek coding ini dipelajari melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi serta Asas Sains Komputer.