Doktor palsu gila seks dipenjara dua bulan

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Kubu Bharu hari ini atas empat pertuduhan.
A
A

KUALA KUBU BHARU - Seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor sakit puan bagi melakukan gangguan seksual terhadap wanita melalui panggilan telefon dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd Fauzi Abd Ghani, 39, yang bekerja sebagai pembantu operasi di Jabatan Veterinar Kuala Terengganu didakwa atas empat pertuduhan membabitkan dua mangsa perempuan, kedua-duanya berusia 21 tahun.

Hakim Nurul Madhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang disabitkan.

Hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 13 Julai lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dua wanita melalui panggilan telefon dengan meminta mangsa membuat aksi lucah.

Kesalahan itu didakwa ketika mangsa berada di Bandar Utama Ligamas Batang Kali pada 13 Jun lalu jam 12.57 tengah hari dan sebuah premis di Antara Gapi, Serendah, pada 25 Jun lalu, jam 9.27 malam.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa memperkenalkan diri sebagai doktor sakit puan terhadap kedua-dua mangsa yang sama sehingga menyebabkan mereka mempercayai tertuduh adalah penjawat awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh, tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing dua bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat, masing-masing penjara satu bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan sebagai penanggung utama keluarga.

"Saya mohon hukuman ringan, saya insaf dan saya juga menjaga ibu saya yang tidak berapa sihat," katanya.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa, Inspektor Nur Sabrina Abd Rashid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

Mengikut fakta kes, bagi kejadian 13 Jun, tertuduh memaklumkan mangsa mengalami kanser payu dara sebelum meminta mangsa membuka baju bagi memeriksa ketulan pada payu dara.

Sementara kejadian pada 25 Jun, mangsa diarah menanggalkan pakaian sambil menepuk buah dada selain menggosok kemaluan dengan alasan bagi melancarkan hubungan intim.

Tertuduh mematikan panggilan telefon selepas terdengar suara ahli keluarga mangsa.

Terdahulu Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, terdapat 21 laporan polis terhadap tertuduh membabitkan kes di seluruh negara dengan empat daripadanya di negeri ini.

Menurutnya, suspek ditangkap sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor di sebuah hotel di Klang pada 9 Julai lalu dan turut merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia