Perjumpaan pemimpin Bersatu hanya pertemuan biasa: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

PAGOH - Pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama beberapa individu penting dalam kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), semalam disifatkan sebagai pertemuan biasa.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjumpaan itu dilaksanakan bagi memenuhi hasrat Dr Mahathir yang juga pengerusi parti.

“Ini hanya perjumpaan biasa kerana Tun nak jumpa semua ahli Yang Berhormat Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ada juga Menteri Besar yang hadir.

“Ini untuk mendapatkan nasihat, pandangan dan bimbingan beliau serta mencari cara bagi Ahli Parlimen dan Senator bekerja melaksanakan tanggungjawab dalam membantu rakyat serta memperkukuhkan parti dan kerajaan. Ini yang paling utama, tiada soal lain hanya tugas, kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penutupan Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pertemuan secara tertutup seumpama itu juga bukanlah pertama kali dilaksanakan sebaliknya ia adalah kali kedua.

“Kali pertama (pertemuan) beberapa bulan lepas dan ia akan dibuat dari semasa ke semasa. Benda biasa sebagai anggota dalam Pakatan Harapan (PH) dan kita dari Bersatu.

"Jadi, penting untuk ahli Yang Berhormat tahu tugas mereka. "Minta nasihat, mengetahui tentang perkara-perkara dasar serta cara bagaimana nak jadi berkesan dan sebagainya. Normal, tiada apa-apa yang luar biasa pun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi gambar pertemuan tersebut di Twitternya dengan petikan kenyataan menyokong Dr Mahathir.

Difahamkan, Pengerusi Bersatu itu telah mengadakan perjumpaan tertutup bersama Ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar dari Bersatu.

ARTIKEL BERKAITAN: PM adakan pertemuan dengan pemimpin Bersatu