Tun M jumpa pemimpin Bersatu hanya perjumpaan biasa: Mukhriz

Mukhriz (tengah) melihat Exco Kerajaan Tempatan, Tan Kok Yew (kanan) bersalaman dengan Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh (kiri) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Perjumpaan tertutup Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Isnin lalu hanyalah pertemuan biasa.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, meskipun tidak berpeluang hadir pada perjumpaan itu, beliau yakin ia hanya sekadar perjumpaan biasa.

Ditanya tentang ketidakhadirannya dalam perjumpaan itu, Menteri Besar Kedah itu memberitahu dia perlu menghadiri Majlis Santapan Diraja di Istana Anak Bukit.

Menurut Mukhriz, perjumpaan berkenaan diadakan untuk mengukuhkan pendirian khususnya dalam konteks komponen PH sebelum bermulanya Sidang Dewan Rakyat.

"Saya tidak pasti apa yang dibincangkan dalam perjumpaan tertutup terbabit, bagaimanapun sekadar pertemuan biasa seperti yang pernah dibuat sebelum ini.

"Kadang-kala, kita lakukan pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dengan kepimpinan parti sebelum bermula Sidang Dewan Parlimen," katanya pada sidang akhbar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut beliau, perjumpaan itu juga merupakan platform untuk bekas Ahli Parlimen yang datang dari parti lain seperti UMNO memberi idea dan pandangan untuk diselarikan dengan pimpinan tertinggi parti.

ARTIKEL BERKAITAN: PM adakan pertemuan dengan pemimpin Bersatu

Semalam, Dr Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan Ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar dari parti itu.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan perkara terbabit di laman Twitter miliknya.

"Kami memberikan sokongan penuh kepada Tun Mahathir dan akan fokus kepada perjuangan rakyat. Masalah rakyat, masalah kami.Tidak perlu bongkak dan sombong, ikhlas berkhidmat untuk semua," katanya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak menyatakan lokasi dan tujuan pertemuan diadakan.