Ayam sejuk beku bernilai RM300,000 dirampas

Kakitangan Maqis menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas oleh PGA di Jeram Perdah.
Kakitangan Maqis menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas oleh PGA di Jeram Perdah.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sejumlah 55,156 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai RM300,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dirampas oleh anggota penguat kuasa yang bertugas mengawal sempadan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan itu bermula dari Januari hingga semalam yang membabitkan sembilan kes.

"Kesemua ayam sejuk beku itu diseludup masuk dari negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok," katanya.

Menurutnya, kesemua rampasan itu adalah hasil kerjasama erat di antara Maqis Kelantan dengan lain-lain agensi penguatkuasaan sempadan Malaysia-Thailand.

"Perbuatan mengimport ayam sejuk beku tanpa mempunyai permit import yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Selain itu mereka yang terlibat juga boleh boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) dalam akta yang sama. Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohd Azam berkata, pesalah turut boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kuarantin dan Pemeriksaan (Perkompaunan Kesalahan 2019) sehingga RM50,000.

Sementara itu, semalam ayam sejuk beku seberat 180kg bernilai RM2,000 yang cuba diseludup masuk ke negeri ini berjaya dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rampasan itu dilakukan pasukan berkenaan ketika melakukan rondaan menerusi Op Wawasan berhampiran pangkalan haram Jeram Perdah di sini.