2.6 tan dadah bernilai RM89.6 juta dirampas sejak 2017

No Image Caption
A
A
A

GENTING HIGHLANDS - Sebanyak 2.6 tan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM89.6 juta dirampas dalam 29 operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Polis Indonesia dalam tempoh 2017 hingga bulan lepas.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, seramai 99 orang yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran dadah ditahan dalam tempoh itu.

Walaupun jumlah dan nilai rampasan itu besar, beliau berkata pihaknya masih tidak berpuas hati dengan apa yang dicapai memandangkan bilangan dadah yang dibawa masuk melalui jalan laut juga menunjukkan trend peningkatan.

“Kami akan meningkatkan lagi kerjasama dengan Narkoba Bareskrim Polri Indonesia yang terjalin sejak 2007...mereka juga mempunyai ‘intelligence network’ (rangkaian risikan) di peringkat tertinggi mereka,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Kumpulan Kerja antara JSJN dan Direktorat IV TP Narkoba Polri Indonesia di Genting Highlands, hari ini yang turut dihadiri rakan sejawatnya dari Indonesia Brign Jen Pol Drs Eko Daniyanto.

Mohd Khalil berkata hasil risikan dan pemantauan pihaknya mendapati modus operandi penyeludupan dadah kedua-dua negara menggunakan jalan laut semakin meningkat.

Beliau berkata polis sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama maritim bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah di kawasan perairan.- Bernama

Artikel Berkaitan: