X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah serius bangunkan KIFT

Mukhriz (kanan) berbual bersama Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh (kiri) pada Sidang DUN Kedah ke 14 di Wisma Darul Aman, di sini hari.
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menafikan Projek Pembinaan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) dirancang sejak 2015 untuk dibangunkan di Kuala Kedah menyepi tanpa khabar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sememangnya memandang serius perlaksanaan KIFT melalui Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI).

Mukhriz berkata, beberapa siri perbincangan berkaitan projek KIFT telah diadakan bersama pemaju, iaitu Luhaifeng Holdings (M) Sdn Bhd.

"Setelah projek KIFT tertangguh sebelum ini, satu rundingan baharu telah diadakan dan memorandum perjanjian ditandatangani dengan pemaju pada 26 Jun lepas.

"Malah, pemaju telah mengenal pasti kawasan yang akan dimajukan dan sedang dalam proses menyediakan dokumen berkaitan untuk tujuan permohonan kebenaran dan lesen berkaitan di peringkat kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) berhubung perkembangan terkini Projek KIFT pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, pihaknya menganggarkan tempoh pembinaan projek pembinaan KIFT akan siap dan mengambil masa tidak melebihi dua tahun.

Katanya, kawasan pembinaan KIFT juga telah dipindahkan ke lokasi baharu iaitu lima kilometer (km) dari Pekan Kuala Kedah berbanding lokasi asal.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan memaklumkan berkaitan cadangan terbabit kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) nanti.

"Sehubungan itu, kita akan memaklumkan berkaitan perkara terbabit dalam mesyuarat terbaharu bersama MPFN tidak lama nanti," katanya.

Katanya, pihak pemaju telah membina enam kapal yang kini telah berada di Langkawi, walaupun pembinaan terminal belum dilaksanakan,

Menurut Mukhriz, pihaknya turut memberi jaminan bahawa projek KIFT tidak akan memberi kesan kepada nelayan, sebaliknya kepentingan mereka akan dijaga.

"Antara manfaat ialah, projek kemudahan moden akan disediakan untuk kegunaan bukan hanya kita di Kuala Kedah tetapi juga kawasan sekitar," katanya.