Dua remaja antara 143 penagih ditahan

Omar Bakhtiar (dua, kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah dalam Op Ice Breaker di tujuh lokasi dalam daerah Kerian yang berakhir, Ahad lepas.
Omar Bakhtiar (dua, kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah dalam Op Ice Breaker di tujuh lokasi dalam daerah Kerian yang berakhir, Ahad lepas.
A
A
A

BAGAN SERAI - Dua remaja lelaki antara 143 individu yang ditahan sepanjang Op Ice Breaker di tujuh lokasi dalam daerah Kerian yang berakhir Ahad lepas.

Remaja berusia 14 dan 18 tahun yang sudah tidak lagi bersekolah itu ditahan dalam operasi berasingan di Bagan Serai dan Parit Buntar dan dipercayai terlibat dalam aktiviti penagihan jenis methamphetamine sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam operasi disertai 60 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian itu turut berjaya mengesan sebuah rumah di Kampung Dew, Semanggol yang dijadikan transit bagi aktiviti pengedaran dadah sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, serbuan berasingan di rumah itu 2 Ogos lalu berjaya menahan dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an dipercayai pengedar serta merampas 147.61 gram dadah jenis heroin, methamphetamine seberat 18.1 gram dan satu peket plastik berisi tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 0.41 gram dengan nilai anggaran keseluruhan RM7,800.

Sebahagian rampasan dadah sepanjang Op Ice Breaker di tujuh lokasi dalam daerah Kerian yang berakhir, Ahad lepas.
Sebahagian rampasan dadah sepanjang Op Ice Breaker di tujuh lokasi dalam daerah Kerian yang berakhir, Ahad lepas.

"Kedua-dua lelaki terbabit masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dengan seorang daripadanya baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara Disember lalu atas kesalahan pengedaran dadah.

"Mereka kini ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan polis," katanya pada sidang media di IPD Kerian hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Sanusi Salleh.

Artikel Berkaitan:

Omar Bakhtiar berkata, dalam operasi Ice Breaker ini, IPD Kerian merekodkan jumlah tangkapan kedua tertinggi selepas Ipoh iaitu 143 orang dengan 134 kes.

Katanya, tangkapan paling ramai adalah melibatkan kes di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 iaitu seramai 102 orang termasuk seorang wanita berusia 30 tahun.

"Operasi kali ini kita menyasarkan kawasan-kawasan tumpuan edaran dan penagihan seperti di kampung dan kebun kelapa sawit.

"Keseluruhan dadah yang dirampas adalah melibatkan heroin seberat 282.32 gram, syabu (48.03 gram) dan ganja (1.49 gram) dengan nilai keseluruhan RM18,556.90," katanya.

Beliau percaya, kejayaan operasi kali ini dapat melumpuhkan sarang-sarang penagih di samping mengurangkan jenayah samun dan pecah rumah yang kebiasaannya didalangi oleh penagih dadah.