Dua lelaki cedera terlibat pergaduhan di tempat awam

Razali
Razali
A
A
A

KUALA KANGSAR - Dua lelaki tempatan cedera selepas terlibat dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah gerai kuih di pekan Kuala Kangsar, malam tadi.

Pergaduhan melibatkan lebih lima penduduk sekitar jam 8.35 malam itu dipercayai hanya berpunca daripada pertikaian mengenai kunci motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu bermula apabila seorang daripada mangsa dikenali Jai menuntut kunci motosikal anaknya yang didakwa diambil seorang lelaki dikenali Pak Su.

Menurutnya, keadaan itu kemudiannya menimbulkan rasa tidak puas hati menyebabkan lelaki terbabit memukul mangsa di bahagian kepala sehingga berdarah.

"Pertengkaran mereka menarik perhatian orang ramai yang berada di tempat kejadian. Ada antara mereka bertindak memukul pula anak lelaki Pak Su menggunakan kayu.

"Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa berusia 47 dan 23 tahun cedera di kepala akibat dipukul dengan objek keras," katanya.

Berikutan kejadian itu, polis telah menahan lelaki dikenali Pak Su, 48, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan kesalahan menceroboh, sementara lelaki dikenali Jai turut mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan samun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis akan memanggil lebih ramai saksi yang berada di tempat kejadian untuk membantu siasatan.