Hukum kongsi seekor haiwan korban dengan akikah

JIKA berkemampuan untuk melakukan ibadah korban dan akikah, sebaiknya asingkanlah kedua-dua ibadah tersebut.
JIKA berkemampuan untuk melakukan ibadah korban dan akikah, sebaiknya asingkanlah kedua-dua ibadah tersebut.
A
A
A

SEMPENA Hari Raya Aidiladha yang dijangka akan disambut umat Islam pada hari Ahad ini, ramai yang mengambil peluang untuk melakukan ibadah korban.

Malah, ada juga yang berniat untuk melakukan akikah pada hari berkenaan yang dikongsi dengan seekor haiwan korban.

Persoalannya, bolehkah berkongsi seekor haiwan korban untuk tujuan korban dan sebahagian lagi untuk akikah?

Menjawab persoalan itu, hukum berkongsi seekor binatang korban iaitu sebahagian untuk korban dan sebahagian lagi untuk akikah ialah harus.

Namun, dari segi pembahagian setiap haiwan yang dikorbankan sama ada unta, kembu atau kerbau itu tidak melebihi daripada tujuh bahagian.

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Kami melakukan korban bersama Rasulullah SAW pada tahun perjanjian Hudaibiyah dengan badanah (unta gemuk) untuk tujuh orang dan lembu juga untuk tujuh orang." (Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Menurut Imam Nawawi dalam Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab: "Memadai seekor unta, demikian juga lembu untuk tujuh orang, sama ada untuk sebuah ahli keluarga ataupun untuk beberapa ahli keluarga. Sama ada mereka itu melakukan korban dengan maksudnya yang sama ataupun berbeza, sama ada korban wajib atau sunat atau sebahagian mereka hanya mahukan daging.

"Harus juga kalau sebahagian mereka bermaksud melakukan korban dan sebahagiannya lagi bermaksud al-Hadyu (binatang yang disembelih di Tanah Haram sebagai dam haji atau umrah)."

Artikel Berkaitan:

Namun, jika kita berkemampuan untuk melakukan korban dan akikah, sebaiknya asingkanlah setiap ibadah tersebut.

Ini kerana akikah boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Sementara itu, ibadah korban pula mempunyai masa tertentu iaitu selepas solat dan khutbah Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijah.

(Sumber: Himpunan Soal Jawab Agama Siri 1, Jabatan Mufti Negeri Selangor)