Luar biasa strategi Erdogan

A
A

HANYA dalam sekelip mata, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara tiba-tiba membuat satu demi satu pengumuman yang mengejutkan. Sepuluh hari sebelum tahun 2018 berakhir, Trump mengumumkan bahawa Amerika akan mengundurkan tenteranya dari Syria – sejurus beliau berbual dalam telefon dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Tidak lama kemudian, Jabatan Negara Amerika mengesahkan bahawa kerajaan AS telah bersetuju untuk menjual pakej peluru berpandu Patriot kepada Turki – secara tepatnya, 80 peluru berpandu Patriot berserta dengan 60 PAC-3 ‘missile interceptors’ – atas dasar melindungi Ankara sebagai ‘sekutu Nato’.

Pakej penjualan Patriot kepada Turki ini dianggarkan sekitar USD3.5 bilion – mengatasi jumlah pakej sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Rusia yang turut dijual kepada Turki dengan nilai USD2.5 bilion.

Tidak cukup dengan kesemua keputusan ini, Trump bahkan turut memaksa Setiausaha Pertahanannya James Mattis agar meletak jawatan segera kerana tidak bersetuju dengan keputusan beliau yang memberi sebegitu banyak kelebihan kepada Turki.

Siri keputusan Trump ini jelas memberi ‘kemenangan tersirat’ yang cukup besar buat Turki di bawah kepimpinan Erdogan. Pada satu sisi, Turki kini bukan sahaja akan memiliki sistem pertahanan peluru berpandu yang terbaik dari Rusia, bahkan juga bakal memiliki sistem peluru berpandu antara yang terbaik dari Amerika.

Untuk rekod, peluru berpandu Patriot yang dijual AS kepada Turki ini adalah buatan syarikat Raytheon – jenis sama yang digunakan Trump ketika mengebom Syria pada 2017 lalu. Perlu diingat, Turki juga turut terlibat dengan program pembinaan pesawat tempur F-35 bersama AS – meski pun penjualannya kepada Turki telah ditangguhkan oleh Kongres beberapa bulan lalu untuk ‘penilaian semula’. Tidak cukup dengan kesemua perkembangan ini, keputusan Trump untuk mengundurkan tentera Amerika dari Syria juga mendatangkan impak besar kepada posisi Turki – khususnya di sempadan Turki-Syria dan ancaman Kurdish. Pada mata kasar, pengunduran Amerika ini hanya akan menyumbang kepada penjimatan dan pengurangan beban ketenteraan Amerika di Syria.

Namun demikian, ia juga sebenarnya menandakan pengunduran Amerika daripada membantu Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan YPG (Unit Perlindungan Rakyat) iaitu sebuah pasukan Kurdish yang pro-Parti Pekerja Kurdish (PKK) – sebuah gerakan yang banyak melancarkan serangan berdarah di Turki.

Secara khususnya, Amerika telah sejak beberapa ketika yang lalu membantu SDF-YPG dalam misi (kononnya) memerangi DAESH sedangkan ia jelas sekali menguatkan pasukan pemberontak Kurdish berkenaan di Manbij, Barat Euphrates, Syria.

Kemuncaknya adalah apabila tersebar kenyataan bahawa Trump dikatakan ‘menyerahkan’ urusan Syria kepada Turki menerusi perbualan telefon kedua-dua pemimpin berkenaan – kemudiannya membawa kepada peletakan jawatan James Mattis yang dilaporkan menentang keras keputusan Trump ini.

Lalu timbul persoalan besar – mengapakah Trump membuat kesemua keputusan yang akan menguntungkan Turki ini? Apa yang telah Erdogan lakukan hingga Trump sanggup berpatah arang dengan Setiausaha Pertahanan beliau sendiri? Bukankah Trump sendiri yang mengenakan tarif baharu ke atas import Turki yang memberi kesan buruk ke atas mata wang Lira Turki beberapa bulan lalu?

Jawapannya terletak pada kebijaksanaan Erdogan mengatur masa dan merundingkan tekanan ke atas Washington. Bukan lagi rahsia bahawa antara kontroversi besar yang sedang membayangi pentadbiran Trump saat ini ialah pembunuhan ngeri wartawan Jamal Khashoggi.

Pentadbiran Erdogan jelas bersedia memanfaatkan isu pembunuhan Jamal Khashoggi ini bagi kepentingan strategik mereka. Turki bukan sahaja memiliki pelbagai bukti yang cukup berkenaan penglibatan sekutu kuat Trump, iaitu Arab Saudi – khususnya Putera Mahkota Mohammad Bin Salman – dalam pembunuhan berkenaan. Malah, berdasarkan rakaman yang dimiliki Turki, jelas bahawa Erdogan telah maklum mengenai perancangan tersebut lebih awal.

Sama seperti mana tragedi rampasan kuasa 2016, Erdogan dilihat hanya menanti masa apabila tragedi ini berlaku bagi mengenakan tekanan geopolitik ke atas Washington (dan juga Riyadh) sekali gus melonjakkan legitimasi beliau. Akhirnya tentulah pengisytiharan Erdogan bahawa tentera Turki akan mula menyerang pemberontak Kurdish – yang dibantu Amerika – di Sungai Euphrates, Syria, beberapa hari sebelum beliau berhubung dengan Trump. Luar biasa sekali strategi Erdogan menutup tirai 2018.*Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.