Hukuman pornografi dendam

A
A
A

MUKTAHIR ini, begitu banyak imej atau video berunsur pornografi yang tersebar di negara ini. Ada yang tersebar atas dasar kecuaian diri sendiri dan banyak juga yang disebarkan atas dasar dendam. Persoalan yang perlu ditekankan di sini adalah, adakah mangsa-mangsa imej dan video pornografi ini dilindungi oleh undang-undang?

Pornografi dendam atau dalam bahasa Inggeris, revenge pornography merupakan penyebaran imej atau video lucah individu tertentu tanpa kebenaran mereka dan imej atau video lucah tersebut mungkin diperolehi seseorang yang berada dalam suatu hubungan intim bersama mangsa terbabit sama ada dengan kebenaran mangsa ataupun sebaliknya.

Dalam salah laku pornografi dendam, pemilikan bahan lucah oleh pesalah laku (pemangsa) biasanya digunakan untuk memeras ugut mangsa agar melakukan seks bersama, memaksa mangsa agar kekal dalam hubungan bersama pesalah laku, mahupun menghukum mangsa kerana memutuskan hubungan dengan pesalah laku.

Di Amerika Syarikat (AS), lebih 10 juta rakyatnya telah menjadi mangsa pornografi dendam. Biarpun penerbitan pornografi secara umumnya dibenarkan di AS, namun pornografi berbentuk dendam adalah dilarang sama sekali. Sehingga kini, sekitar 30 buah negeri di AS telah menggubal undang-undang untuk menyekat dan mendakwa salah laku penyebaran pornografi dendam ini.

Di England, undang-undang mengenai pornografi dendam telah diperkenalkan pada 2015, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun. Dalam tahun pertama undang-undang ini diperkenalkan, seramai lebih 200 orang telah didakwa dan dihukum di bawah undang-undang ini.

Di Malaysia juga kita mempunyai undang-undang untuk mendakwa kesalahan penyebaran pornografi dendam. Di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, individu boleh didakwa jika menyebarkan apa-apa kandungan lucah di internet dan jika sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Namun, hukuman di bawah Seksyen 233(3) ini masih tidak mencukupi kerana hukuman tersebut masih terlalu ringan untuk dijadikan pengajaran kepada orang ramai. Pihak kerajaan perlu meneliti semula hukuman di bawah seksyen ini agar ia menjadi lebih berat.

Ada juga beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan yang boleh digunakan dalam pendakwaan berkaitan pornografi dendam. Contohnya, jika mangsa diperas ugut bahawa gambar atau video lucahnya akan disebarkan jika tidak menuruti kehendak pemangsa, maka pendakwaan boleh dibuat di bawah Seksyen 383 Kanun Keseksaan (peras ugut) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 384 yang membawa hukuman 10 tahun penjara, denda dan rotan.

Artikel Berkaitan:

Dalam situasi tertentu, tindakan saman sivil juga boleh dilakukan terhadap pesalah laku kerana melanggar hak privasi. Mahkamah di Malaysia sendiri mengiktiraf tindakan saman sivil terhadap mana-mana pelanggaran hak privasi. Jadi, jika anda merasakan hak privasi anda telah dilanggar, anda mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pesalah laku.

Di Singapura, kesalahan pornografi dendam boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun selain denda dan sebat. Malah, Singapura juga mempunyai undang-undang cyber-flashing iaitu perbuatan menghantar imej kemaluan sendiri kepada orang lain. Hukuman yang dikenakan di bawah peruntukan cyber-flashing ini ialah penjara sehingga setahun atau denda.

Jika penerima imej lucah itu berusia bawah 14 tahun, pesalah berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau sebat.

Malaysia wajar untuk mengkaji semula hukuman berkaitan pornografi dendam ini termasuk juga cyber-falshing. Isu ini dilihat semakin menjadi-jadi di negara ini. Ramai yang sudah terkena dan akan lagi ramai yang bakal terkena pada masa hadapan.

Ramai politikus dan selebriti di negara ini telah menjadi mangsa pornografi dendam. Parut yang ditinggalkan oleh pornografi dendam akan kekal selamanya.

Selain itu, mangsa kepada pornografi dendam juga perlu memberanikan diri untuk membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil ke atas pesalah laku pornografi dendam ini. Jangan biarkan kesalahan mereka berleluasa sehingga menyebabkan mangsa hidup dalam perasaan malu, ketakutan dan tertekan.