Bangsal buruk 'mahligai' Pak Dollah

Pak Dollah (tengah) ceria dikunjungi pihak KKCK di kediamannya di Banggol Jenerih.
Pak Dollah (tengah) ceria dikunjungi pihak KKCK di kediamannya di Banggol Jenerih.
A
A
A

TANAH MERAH - Tinggal sebatang kara dalam bangsal buruk yang hanya berbumbung dan berdindingkan zink di Banggol Jenerih di sini.

Itulah nasib seorang warga emas yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan dan hanya meraih pendapatan melalui jualan serai yang ditanam di tepi rumahnya.

Warga emas itu yang dikenali sebagai Mohamad Abdullah Mat, 80-an atau Pak Dollah berkata, jika kesihatannya kurang baik dia tidak keluar menjual serai dan hanya alas perut dengan makan biskut dan minum air milo yang dibancuh sendiri hasil sumbangan ramai.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan ini menyukarkannya untuk mendapat bantuan daripada pihak berwajib.

"Saya juga ada masalah pendengaran dan tidak mampu berkomunikasi dengan baik kerana tidak boleh mendengar," katanya.

Rumah Pak Dollah yang tidak mempunyai pintu dan hanya ditutup dengan kain pelikat.
Rumah Pak Dollah yang tidak mempunyai pintu dan hanya ditutup dengan kain pelikat.

Tinjauan Sinar Harian Tanah Merah mendapati warga emas ini tinggal dalam bangsal yang dibina sendiri sejak 10 tahun lalu.

Menceritakan keadaan warga emas itu, warisnya yang tinggal berdekatan, Mat Juri Hussin berkata, Pak Dollah sebelum ini pernah tinggal di Kuala Lumpur dan tidak mempunyai rumah dan hidup seperti gelandangan.

Artikel Berkaitan:

"Melihatkan keadaannya yang tinggal seorang diri dan terbiar, saya bawa balik dia ke Kelantan dan dia selesa tinggal dalam bangsal itu.

"Sebelum ini dia pernah berkahwin namun kini keadaannya tidak terurus dan selepas saya bawa balik dia ke Tanah Merah, ada jugalah saya bantu dia dari segi sumber kewangan dan beri bantuan makanan," katanya.

Mendekati Abdullah tidaklah sukar memandangkan sikapnya mudah mesra dan suka tersenyum ketika menyambut kedatangan rombongan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) di bangsal miliknya hari ini.

Di kawasan inilah Pak Dollah tidur hanya beralaskan tikar getah nipis dan ditutup dengan kain.
Di kawasan inilah Pak Dollah tidur hanya beralaskan tikar getah nipis dan ditutup dengan kain.

Pengerusi KKCK, Pui Tiong Lam berkata, pihaknya telah mengadakan kunjungan beberapa kali ke bangsal warga emas itu.

"Kita sampaikan sumbangan makanan bagi menampung keperluan Pak Dollah yang tinggal seorang diri.

"Disebabkan masalah Pak Dollah yang tidak mempunyai kad pengenalan yang dikatakan hilang, kami bawa dia ke JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) Tanah Merah untuk mendapatkan pengenalan diri," katanya.

Tiong Lam berkata, diharap dengan usaha kita ini dapat membantu warga emas itu mendapatkan bantuan susulan termasuk bantuan daripada pihak berwajib.