UniMAP turun padang bantu pengusaha harumanis

Uda (duduk tiga dari kanan) bergambar bersama peserta dialog harumanis bersama UniMAP di INSAT, Sungai Chuchuh, Padang Besar kelmarin.
Uda (duduk tiga dari kanan) bergambar bersama peserta dialog harumanis bersama UniMAP di INSAT, Sungai Chuchuh, Padang Besar kelmarin.
A
A
A

PADANG BESAR - Pengusaha tanaman harumanis Perlis tidak perlu lagi gusar apabila Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyuarakan kesanggupan turun padang bagi mendengar permasalahan penanaman mangga tersebut.

Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Uda Hashim berkata pihaknya bersetuju menghantar pensyarah dan penuntut UniMAP terus ke kebun pengusaha tanaman itu bagi mengenal pasti permasalahan yang dihadapi pekebun.

"Sekiranya kami mendapat maklumat berkaitan apa jua masalah pengusaha kami sanggup datang ke kebun bagi melihat dan mendengar sendiri permasalahan itu.

"Sekurang-kurangnya pensyarah dan penuntut UniMAP dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan melalui kepakaran yang kita ada," katanya ketika sesi Dialog Harumanis Bersama UniMAP 2019: Cabaran, Permasalahan dan Isu Semasa Dalam Industri Harumanis Perlis di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) di sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Negeri Perlis, Fadhilnor Abdullah dan pegawai dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Tambahnya lagi, selepas ini UniMAP akan melaksanakan sesi dialog agar dapat menyasarkan golongan peserta yang lebih spesifik.

"Ini sebagai permulaan buat UniMAP dalam mendekati pengusaha harumanis dan sememangnya hasrat UniMAP untuk membantu menjadikan ikon harumanis Perlis sebagai buah terbaik melalui kepakaran yang dimiliki kami.

"Beberapa permasalahan telah dikenalpasti seterusnya kita akan menggalas dan menyusun permasalahan mengikut keutamaan sebelum mula mengkaji bentuk penyelesaiannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sesi dialog selama tiga jam ini telah disertai seramai 80 peserta terdiri daripada pengusaha tanaman harumanis di negeri Perlis.