Bapa sanggup korban simpanan haji untuk jamin anak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KASIH ibu membawa ke syurga. Kasih ayah sepanjang masa. Begitulah gambaran paling sesuai terhadap pengalaman yang dikongsi seorang peguam dalam berdepan pelbagai ragam manusia.

Menurut perkongsian Aminahtul Marrdiah di laman Twitter miliknya, dia menceritakan bagaimana seorang ayah sanggup ‘mengorbankan’ duit simpanan haji hanya untuk mengikat jamin anaknya.

Ceritanya, pada satu hari dia melihat seorang lelaki tua mencari-cari tempat duduk di dalam mahkamah.

Rupa-rupanya dia hadir kerana anak lelakinya bakal didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Apabila nama anaknya dipanggil, warga emas berusia 70 tahun itu bangun dalam keadaan terketar-ketar.

Kesedihan dan ketakutan juga jelas terlihat di wajah tuanya.

Warga emas itu meminta supaya mahkamah membenarkan anaknya dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketika ditanya di mana dia akan mendapatkan wang ikat jamin memandangkan dia tidak lagi bekerja, jawabnya ringkas iaitu akan menggunakan duit simpanan haji.

Artikel Berkaitan:

“Luluh hati saya mendengar jawapan pakcik itu. Usianya sudah lanjut tetapi masih berusaha mengumpul duit untuk ke tanah suci.

“Dia sanggup mengorbankan simpanan yang dikumpul sejak beberapa tahun lalu untuk menjamin anaknya. Impiannya lebur begitu sahaja,” tulisnya.

Tulis Aminahtul lagi, apabila perlu membuat keputusan untuk kes seperti itu, dia memilih untuk memenjarakan pesalah dan mengembalikan semula duit jaminan kepada si bapa.

“Saya tahu pakcik sayangkan anak pakcik tetapi sudah tiba masanya untuk pakcik lebih sayangkan diri sendiri,” katanya kepada lelaki tua tersebut.

Dalam pada itu Aminahtul turut berharap agar hasrat pakcik itu untuk menunaikan haji tercapai dan anaknya berubah menjadi individu yang lebih baik.

Perkongsian Aminahtul mengundang sebak dalam kalangan pengikutnya dan rata-rata mereka memuji tindakan peguam itu.