Runding saiz khemah Arafah, Mina bagi keselesaan jemaah: Fuziah

Fuziah (tengah) pada sidang media selepas melawat jemaah haji dan meninjau operasi haji di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah di Abraj Janadriyah hari ini. - Foto BERNAMA
Fuziah (tengah) pada sidang media selepas melawat jemaah haji dan meninjau operasi haji di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah di Abraj Janadriyah hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

MAKKAH - Saiz khemah lebih besar di Arafah dan Mina merupakan antara penambahbaikan yang wajar dirunding dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselesaan jemaah haji Malaysia mengerjakan ibadat Masyair.

Ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamrah pada hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata ruang yang selesa amat penting kerana jemaah haji akan menghabiskan masa selama empat hari untuk ibadat Masyair di kawasan itu.

"Ruang di Mina kita lihat kira-kira 7.2 kaki persegi (0.67 meter persegi) (untuk seorang jemaah), ruang ini kira juga daripada mula ke akhir Masyair itu dalam masa empat hari.

"Ruang agak tidak cukup, kurang daripada 2 kaki x 7 kaki. Kita boleh runding tetapi kawasan itu diwartakan macam itu," katanya pada sidang media selepas melawat jemaah haji dan meninjau operasi haji di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah di Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof, Anggota Lembaga Pengarah TH Datuk Ahamed Basheer Mohd Hussain, dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Untuk rekod, di Arafah sebanyak 151 khemah dengan luas binaan keseluruhan 34,520 meter persegi dibina untuk jemaah haji Malaysia, manakala di Mina sebanyak 403 khemah dengan luas binaan keseluruhan 25,314 meter persegi dibina.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fuziah berkata bagi menyelesaikan isu senarai menunggu haji yang panjang, bermula tahun ini mereka yang telah mengerjakan haji tidak akan dibenarkan mendaftar semula untuk mengerjakan haji untuk kali kedua.

"Kita faham isu warga emas menunggu terlalu lama untuk mengerjakan haji jadi kita timbang pelbagai cara (selesai masalah) untuk mempercepatkan giliran menunggu, cabaran itu besar tetapi Anggota Lembaga Pengarah (TH) komited untuk menyelesaikannya," katanya.

Mengulas mengenai operasi haji tahun ini, beliau berkata TH wajar dipuji kerana berjaya memastikan operasi haji tahun ini berjalan lancar dan inisiatif seperti Makkah Route diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Malaysia dipilih untuk Makkah Route ini sejak tiga tahun lepas kerana pengurusan haji kita adalah yang terbaik yang mana amat memudahkan jemaah, saya lihat ambil masa amat singkat untuk proses imigresen jemaah haji kita," katanya. -Bernama