Buah getah pecah petanda hampiri musim tengkujuh

Ismail sedang bermain bebaling yanh dihasilkan daripada pokok getah
Ismail sedang bermain bebaling yanh dihasilkan daripada pokok getah
A
A
A

BALING - Kedatangan musim buah pokok getah pecah merupakan petanda kepada penduduk bahawa musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi.

Seorang penduduk, Ismail Md Hassan, 60, dari Kampung Che Wan Jusoh berkata, musim itu akan berlaku dalam tempoh sekitar 20 hari.

Menurutnya, buah getah akan pecah di atas pokok akibat cuaca yang terlalu panas dan akhirnya jatuh ke tanah.

"Orang panggil nama musim kemarau buah getah pecah. Musim ni tak sampai sebulan, tapi lebih kurang 20 hari saja.

"Habis saja buah-buah getah ni pecah akan disusuli hujan lebat berselang seli cuaca panas dan kemudiannya akan bersambung hingga musim tengkujuh," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, petanda musim tengkujuh itu adalah petua diwarisi daripada orang terdahulu.

Ismail kanan dan Muhammad Ridzuan kiri menunjukkan buah pokok getah yang telah pecah.
Ismail kanan dan Muhammad Ridzuan kiri menunjukkan buah pokok getah yang telah pecah.

"Musim buah getah pecah bagi tahun ini dah lebih tujuh hari, tak lama lagi masuk musim tengkujuh. Waktu tu pendapatan penoreh getah akan merosot.

Artikel Berkaitan:

"Kebiasaannya dalam sebulan, penoreh nak dapat menoreh pokok getah selama 10 hari pun susah. Musim tengkujuh selalunya akan berlarutan sampai bulan Disember," katanya.

Ismail berkata, jangkaan musim tengkujuh dan panas pada hari ini bagaimanapun sukar dijangka secara tepat berbanding sebelum ini kerana faktor cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, bagi orang-orang tua terdahulu musim buah getah pecah akan digunakan untuk menyemai biji benih padi di atas darat sebelum menanam padi dalam sawah.

"Bila musim tengkujuh pula, orang akan bakar ketulan-ketulan batu dan tanam dalam padi bagi mendapatkan beras.

"Tapi zaman sudah berubah, dua kaedah tu sudah tidak digunakan lagi bersesuaian dengan teknologi yang ada," katanya.

Katanya lagi, buah getah yang pecah atau masih dalam keadaan elok juga dijadikan bahan mainan kanak-kanak sezamannya.

"Antaranya guna buah getah pecah untuk buat 'bebaling'. Ia perlu ditiup sampai kulit getah berpusing.

"Buah getah dalam keadaan yang sempurna pula kami akan lawan, siapa boleh pecahkan buah dengan tangan akan menang.

"Tapi zaman sudah berubah, kanak-kanak pada hari ini lebih dekat dengan gajet," katanya.

Manakala, seorang lagi penduduk, Muhammad Ridzuan Che Mirat, 53, berkata, apabila tibanya musim buah getah pecah penduduk yang tinggal di tepi sungai perlu berwaspada.

"Di kawasan Baling bila musim tengkujuh akan berlaku banjir kilat. Kampung-kampung berhampiran sungai akan terima musibah," katanya.