Anak Kelantan teruja jumpa bintang YouTube Zach King

Sofian terima undangan jumpa Zach King di Indonesia Julai lalu.
Sofian terima undangan jumpa Zach King di Indonesia Julai lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anak muda tidak menyangka impiannya untuk bertemu idolanya Zach King menjadi kenyataan.

Mohamad Sofian Abdullah, 23, anak kelahiran Wakaf Bharu, Tumpat ini bertuah apabila diundang bertemu personaliti YouTube itu di Indonesia pada Julai lalu.

Zach King atau Zachary Micheal King adalah bintang Vine Amerika yang menetap di Los Angeles, USA.

Menjadikan beliau sebagai idola, Sofian atau lebih dikenali sebagai Sofyank mula tular di media sosial sejak 2017 setelah menghasilkan video-video berinspirasikan kreativiti Zach King di laman sosial.

Sofian berkata, dia mula terlibat dengan pembikinan video itu sejak tingkatan dua dan merasakan bidang ini berbeza dengan bidang lain.

"Bidang ini agak unik dan memerlukan kreativiti untuk sempurnakannya. Video beliau kelihatan berlainan dengan orang lain, walaupun nampak mudah, tapi dia mampu membawa imaginasi ke realiti.

"Bila Zach King jemput saya melalui Twitter, perasaan saya masa tu memang tidak dapat digambarkan. Bila kami jumpa dia layan saya lebih dari peminat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Anak keempat daripada enam beradik itu kini bertugas sebagai videografer di Astro Radio.

Mengulas mengenai pandangan keluarga, bapa dan ibunya, Abdullah Mohamed dan Salmah Omar tidak pernah membantah malah memberikan sokongan padu terhadap minat anak mereka.

"Alhamdulillah saya mempunyai keluarga yang menyokong penuh minat saya. Mereka pun suka tengok video yang saya buat.

"Ilmu ini masih luas dan Insya-ALLAH saya berhajat nak belajar lagi mengenai suntingan video ini sehingga mencapai taraf antarabangsa," jelasnya.