Malaysia bincang isu jerebu dalam Mesyuarat ke-21 TWG

Bandar Kuantan diselubungi jerebu menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap sederhana di bawah bacaan 100. -Foto Bernama
Bandar Kuantan diselubungi jerebu menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap sederhana di bawah bacaan 100. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia akan membincangkan isu jerebu merentasi sempadan semasa Mesyuarat ke-21 Technical Working Group (TWG) dan Sub-Regional Ministerial Steering Committee Transboundary Haze Pollution yang diadakan di Brunei Darussalam bermula pada hari ini hingga esok.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) berkata, mesyuarat tahunan ini melibatkan lima negara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand bagi memantau serta memperincikan langkah-langkah yang perlu diambil dalam mengatasi isu berkenaan selaras dengan Perjanjian ASEAN mengenai jerebu merentasi sempadan.

Menurutnya, Malaysia akan melaporkan semua tindakan yang telah diambil bagi memastikan insiden kebakaran terbuka dan jerebu dapat dielakkan termasuk pengemaskinian Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan yang baharu.

"Malaysia juga akan menyarankan negara ahli untuk sama-sama mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut dalam kalangan negara ASEAN dapat dikawal untuk mengelakkan kejadian jerebu merentasi sempadan ini terus berlaku.

"Keadaan sedikit berjerebu di sekitar Lembah Klang, di kawasan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Pantai Barat Sarawak akibat kebakaran tanah serta hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Delegasi Malaysia itu akan diketuai oleh Timbalan Menteri Mestecc, Isnaraissah Munirah Majilis.

Terdahulu, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, kerajaan perlu menggubal akta pencemaran jerebu merentas sempadan bagi membendung amalan pembakaran terbuka oleh syarikat di rantau Asia Tenggara.

Dengan adanya akta pencemaran itu, tindakan perundangan dapat diambil terhadap syarikat yang mengakibatkan jerebu.

Artikel Berkaitan: