MB Johor lancar kempen kibar Jalur Gemilang

Dzulkefly (empat dari kanan) bergambar bersama Jalur Gemilang selepas sidang akhbar hari ini.
Dzulkefly (empat dari kanan) bergambar bersama Jalur Gemilang selepas sidang akhbar hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Johor di laman rumah limas Kundang Ulu, Tangkak hari ini.

Pelancaran kempen tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, bagi menambah keistimewaan pelancaran kempen kali ini konvoi kembara merdeka Jalur Gemilang akan turut sama memeriahkan suasana.

Menurutnya, konvoi tersebut dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

"Kerajaan negeri melihat penglibatan Jabatan Penerangan Negeri Johor amat penting bagi membantu kerajaan negeri untuk mempromosi dan menjayakan kempen kibar Jalur Gemilang tahun 2019.

"Acara konvoi selama dua hari ini mula bergerak dari Melaka dan akan melalui enam buah daerah di negeri ini. Ia akan disertai seramai 133 peserta melibatkan 53 buah kenderaan yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan," katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Johor, Zainuddin Ismail.

Dzulkefly berkata, pada 31 Ogos nanti kerajaan negeri akan menganjurkan perbarisan Hari Kebangsaan peringkat Johor 2019 di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

"Pada sebelah malam pula kerajaan negeri akan menganjurkan Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena sambutan Hari Kebangsaan disertakan dengan sambutan Maal Hijrah peringkat Johor tahun 2019 di Johor Bahru.

"Majlis tahlil dan doa kesyukuran turut akan berlangsung serentak di masjid-masjid daerah di Johor," katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sambutan perbarisan Hari Kebangsaan juga diadakan di peringkat daerah pada 31 Ogos ini.

"Lokasi perbarisan adalah Padang Hoki Batu Pahat (Batu Pahat), Dataran Segamat (Segamat), Dataran Tasik (Kluang), Dataran Majlis Daerah Pontian (Pontian), Stadium Mini Mersing (Mersing), Stadium Mini Kulai (Kulai), Dataran Ledang (Tangkak), Padang Bukit Kerajaan (Kota Tinggi) dan Dataran Tanjung Emas (Muar).

"Kerajaan Johor telah memutuskan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang akan mewakili Menteri Besar bagi merasmikan sambutan di peringkat daerah," katanya.

Selain itu, katanya, semua rakyat diajak menyemarakkan semangat kemerdekaan dan patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan menyertai program yang telah diaturkan sepanjang bulan kebangsaan.

"Saya juga berharap seluruh rakyat amnya di negeri ini dapat bersama menyertai acara yang telah direncanakan," katanya.