APM siap sedia hadapi jerebu

Lima pegawai UiTM Kelantan ditauliahkan sebagai pegawai bersekutu pada Majlis Penutup Program Sispa Challenge dan Majlis Pentauliahan Pegawai Bersekutu UiTM di sini.
Lima pegawai UiTM Kelantan ditauliahkan sebagai pegawai bersekutu pada Majlis Penutup Program Sispa Challenge dan Majlis Pentauliahan Pegawai Bersekutu UiTM di sini.
A
A
A

MACHANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan jerebu yang melanda negara sejak beberapa hari lalu.

Ketua pesuruhjayanya, Datuk Roslan Wahab berkata, semua pengarah APM di peringkat negeri diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan perkembangan terkini cuaca tersebut.

Menurutnya, APM akan mengambil tindakan proaktif termasuk membekalkan penutup mulut dan hidung kepada orang ramai yang terjejas jika keadaan memerlukan.

"Setakat ini, keadaan jerebu di beberapa negeri yang terlibat berada pada tahap sederhana dan sihat serta dilaporkan semakin pulih. Kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa jua keadaan.

"Semuanya dilaporkan semakin baik dan pulih seperti biasa," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Siswi Pertahanan Awam (Sispa) Challenge dan Majlis Pentauliahan Pegawai Bersekutu Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.

Hadir sama, Komandan Kor Sispa UiTM, Prof Dr Roziah Mohd Janor, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan APM, Ahmad Afandi Mohamad dan Rektor UiTM Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed.

Beberapa hari lalu, negara berdepan pencemaran udara atau jerebu berpunca akibat kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon berkata, kualiti udara di semua tempat di seluruh Malaysia kini dilaporkan pulih seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebanyakan tempat di negara ini mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di bawah 90 dan tahap jarak penglihatan yang dibuat oleh pihaknya juga sama seperti dilaporkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu melebihi 10 kilometer.