Sultan Sallehuddin syukur Kedah dalam radar pelabur

Sultan Sallehuddin ketika bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman.
Sultan Sallehuddin ketika bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan kesyukuran kerana Kedah berada dalam radar pelabur dari pelbagai negara.

Baginda kagum terhadap prestasi kerajaan negeri bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berjaya menarik pelaburan asing bernilai RM7.75 bilion pada suku pertama tahun ini.

Baginda bertitah, pencapaian tertinggi negeri itu membolehkan sasaran RM10 bilion nilai pelaburan baharu bagi tahun ini mampu dicapai.

“Kerancakan kerajaan negeri merealisasikan projek mega seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Zon Ekonomi Sempadan Khas di Bukit Kayu Hitam, Litar Lumba Antarabangsa di Sungai Petani serta Bandaraya Getah di Padang Terap, meletakkan Kedah dalam radar pelabur,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Turut berkenan berangkat sama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sultan Sallehuddin bertitah, agar infrastruktur moden dapat disediakan dengan menerapkan teknologi masa depan.

“Ini penting agar Kedah bergerak ke arah negeri berteknologi moden dalam semua sektor ekonomi, terutama pertanian,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Baginda turut mahu pusat pelancongan di Kedah diperkasakan bagi meningkatkan pendapatan negeri dan penduduk.

“Qatar Airways akan melancarkan penerbangan terus dari Doha ke Langkawi pada 15 Oktober ini. Inisiatif ini berupaya membantu lebih ramai pelabur dan pelancong Timur Tengah dan Eropah ke pulau peranginan ini,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda mahu usaha digiatkan untuk membangunkan tempat-tempat pelancongan lebih menarik tumpuan pelancong seperti Gunung Keriang, Kota Kuala Kedah, Tapak Warisan Tamadun Kedah Tua di Sungai Batu serta muzium yang terdapat di negeri ini.

“Kita harus memulihara warisan kegemilangan Kedah yang agak terbiar pada masa ini. Beta berharap produk pelancongan baharu dan sedia ada di negeri ini lebih giat diperkenalkan di pentas antarabangsa,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, pada tahun 2016, indeks kesejahteraan penduduk Kedah berada pada kedudukan sederhana termasuk domain perumahan dan persekitaran serta ekonomi keluarga di Kedah di tahap rendah.

“Oleh itu usaha ke arah peningkatan pendapatan rakyat serta penyediaan rumah dan persekitaran selesa harus dipergiatkan. Untuk membina kehidupan berkualiti, peranan pendidikan penting. Pelaburan dalam pendidikan mampu meningkatkan kualiti hidup seseorang,” titah baginda.

Baginda turut menyarankan agar pentadbiran yang baik dan efisien haruslah disokong dengan penggunaan teknologi terkini yang lebih meluas, melibatkan ekonomi digital, artificial intelligence, robotik dan sebagainya.

“Fenomena disruptive innovation ini bakal membawa tadbir urus negeri Kedah ke tahap yang relevan dengan perkembangan semasa,” titah baginda.