Seorang remaja, 2 kanak-kanak dirempuh lori

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Seorang remaja, dua kanak-kanak parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Kampung Air Tanai, Alor Gajah Jumaat lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu, turut mengundang reaksi masyarakat apabila rakaman visualnya mula tular di media sosial sejak petang semalam selepas dimuat naik pengguna media sosial.

Visual berkenaan yang berdurasi 33 saat itu memaparkan dua daripada mangsa terbaring di atas jalan tar manakala seorang lagi dalam keadaan duduk kesakitan dan kaki kanannya dilihat patah di samping mukanya turut berdarah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya ketika dihubungi berkata, dua kanak-kanak terbabit berusia 12 tahun termasuk yang menunggang motosikal berkenaan mengalami patah kaki kanan dan cedera di muka.

Menurutnya, seorang lagi remaja berusia 15 tahun parah akibat paru-paru bocor dan cedera di pelbagai anggota badan.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis EX5 yang ditunggang tiga sahabat dari arah Ayer Paabas ke Paya Datuk itu cuba membuat pusingan U.

"Setiba di tempat kejadian motosikal mangsa telah membuat pusingan U menyebabkan sebuah lori dari arah sama gagal mengelak dan merempuh mangsa.

"Akibat kemalangan itu penunggang serta dua orang pembonceng cedera parah dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemandu lori yang merupakan seorang warga emas berusia 60 tahun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.