Rampas 10 DUN milik PH andaian syok sendiri

Mohammad Nizar Jamaluddin
A
A

IPOH - Keyakinan UMNO dan Pas Perak merampas 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri merupakan satu andaian syok sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dakwaan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyatakan akan merampas kembali Perak dengan majoriti dua pertiga sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

Sebaliknya, beliau menegaskan ketidakpercayaan golongan pengundi belia terhadap keikhlasan penyatuan dua parti pembangkang itu dijangka memberi kelebihan kepada PH Perak untuk terus mengekalkan pentadbiran kerajaan pada PRU15.

"Keyakinan diluahkan mereka atas congakan pencampuran undi diterima kedua-dua parti itu pada PRU14, sedangkan UMNO dan Pas perlu sedar pertambahan pengundi belia berumur 18 tahun ke atas pada PRU15 akan menjadi penentu utama kemenangan.

"Pengundi belia berusia 18 tahun pada PRU15 sudah pasti berusia lingkungan 15 dan 16 tahun ketika ini dan terdapat tinjauan dibuat ke atas mereka baru-baru ini menunjukkan mereka sebenarnya langsung tidak memihak kepada penyatuan UMNO dan Pas," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Saarani bahawa 10 kerusi DUN milik PH di Perak bakal menjadi taruhan utama UMNO dan Pas dalam PRU15.

Kerusi DUN dimaksudkan Saarani adalah Titi Serong, Kuala Kurau, Kamunting, Hulu Kinta, Manjoi, Behrang, Chenderiang, Sungai Rapat, Pasir Panjang dan Tebing Tinggi.

Mohammad Nizar yang juga Pengarah Pilihan Raya PH Perak berkata, golongan pengundi belia sebenarnya tidak percaya penyatuan UMNO dan Pas bersifat kekal.

Sementara itu, Mohammad Nizar memberitahu, banyak permasalahan rakyat berjaya diselesaikan kerajaan PH Perak meskipun usia pentadbiran masih baharu termasuk pelbagai isu gagal diselesaikan kerajaan terdahulu sejak lebih 60 tahun lalu.

"Sebenarnya keyakinan PH Perak untuk menang PRU15 bertambah kuat setelah melihat prestasi setiap Exco mencapai matlamat melebihi prestasi Exco BN pada kerajaan terdahulu.

"Antaranya melalui portfolio saya sendiri selaku Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor apabila terbukti berjaya meningkatkan jumlah pelaburan sebanyak enam kali ganda berbanding zaman BN. Saya yakin rakyat akan meneruskan sokongan terhadap PH," katanya.