112 tong minyak bitumen dibuang tepi jalan

Sebanyak 112 tong berisi minyak bitumen itu dijumpai diletakkan di tepi jalan berhampiran pembentung sungai di Kampung Sungai Jang Kerling di sini.
Sebanyak 112 tong berisi minyak bitumen itu dijumpai diletakkan di tepi jalan berhampiran pembentung sungai di Kampung Sungai Jang Kerling di sini.
A
A
A

HULU SELANGOR - Penduduk orang asli berdekatan Kampung Sungai Jang, Kerling menemui 112 tong berisi minyak bitumen yang dibuang di dua lokasi berasingan di tepi jalan berhampiran sungai kampung berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara tersebut pada Jumaat lepas dan penduduk memaklumkan aktiviti itu dikesan sejak sebulan lalu.

Menurutnya, siasatan awal yang dilakukan pada jam 11 malam mendapati lokasi tong berkenaan terletak hanya 10 meter dari pembetung sungai.

"Sebanyak 112 tong berisi cecair telah dikenal pasti di kedua-dua lokasi iaitu 64 tong di lokasi pertama dan 48 tong di lokasi kedua.

"Berdasarkan label di tong terbabit, cecair tersebut disyaki minyak bitumen yang merupakan flammable liquid.

"Pada keesokan hari (Sabtu), lawatan susulan dijalankan MDHS bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Air Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemungkinan berlaku pelepasan ke dalam parit di lokasi pertama dan sampel bahan cecair itu serta tanah diambil JAS Selangor.

"Tiada sebarang tumpahan di lokasi kedua mengikut hasil siasatan Air Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Pemilik tong sudah dikenal pasti dan dikenakan dua kompaun di bawah Seksyen 46(1)(A) Akta Jln, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan meletakkan himpunan barang di tempat awam tanpa kebenaran MDHS.

"Pemilik tersebut menyatakan tong berkenaan diletakkan sementara kerana lori yang digunakan tidak dapat melalui jalan ke kebunnya kerana saiz kenderaan terlalu besar," katanya.

Shukri berkata, operasi di premis kilang menemui 300 tong bahan sama dan disita pihak Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) serta sampel diambil JAS Perak bagi mengelak tong berkenaan dibuang atau dialihkan.

Menurutnya, bahan cecair berkenaan merupakan bahan berasal dari kelapa sawit dan boleh digunakan untuk tujuan baja pokok durian.

"Pada Ahad lalu, dua lori diguna bagi memindahkan semula kesemua tong di Kampung Sungai Jang ke kilang terbabit yang terletak di kawasan operasi MDTM.

"Satu kompaun turut dikeluarkan berkaitan pembuangan atau penumpahan sisa cecair di kawasan yang tidak dibenarkan," katanya.