Raja Ular Perlis sedar dari koma

Aksi Muhammad Hafiz mencium ular tedung selar dan gambar kiri, Muhammad Hafiz ketika ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah selepas dipatuk ular kelmarin.
A
A

KANGAR - Raja Ular Perlis yang koma sejak Sabtu lalu selepas dipatuk ular tedung selar di tempat kerjanya telah sedarkan diri sejak tengah hari semalam.

Nur Syazana Salim, 28, berkata, suaminya Muhammad Hafiz Alias, 28, menunjukkan perubahan positif apabila mampu berkomunikasi dan mengenali ahli keluarga yang melawatnya.

Menurutnya, ketika ini suaminya perlu berpuasa dan bergantung kepada ubat yang dimasukkan oleh doktor.

"Masa awal sedar tu dia boleh buka mata sahaja, tak boleh nak bercakap lagi sebab ada tiub yang dimasukkan ke dalam mulutnya.

"Selepas tiub itu dicabut, baru dia boleh bercakap tetapi agak tersekat-sekat mungkin sebab dahaga, sebab dia ada minta air sebelum itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Syazana berkata, dia juga berasa gembira apabila suaminya mampu menggerakkan lutut kirinya yang dipatuk tedung selar berkenaan.

"Petang semalam masa saya melawat dia, saya ada tanya sama ada kakinya itu boleh digerakkan atau tidak.

"Dia jawab boleh, sambil pegang tangan saya dan mengalihkan lutut dia. Alhamdulillah, lega hati saya tengok," katanya.

Syazana yang juga sedang sarat mengandung berharap suaminya itu cepat sembuh seperti sedia kala.

"Sebelum ini suami pernah juga dipatuk ular ketika memberi ular makan, tetapi tidaklah serius seperti kali ini.

"Bagaimanapun saya reda mungkin ini ujian untuk kami sekeluarga, dan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan suami saya," katanya yang bakal melahirkan cahaya mata kedua mereka pada bulan hadapan.

Semalam, media melaporkan, Muhammad Hafiz yang juga kakitangan Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat dipatuk seekor ular jenis tedung selar ketika sedang memberi makan kepada reptilia itu di tempat kerjanya petang kelmarin.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Raja Ular' parah dipatuk tedung selar


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia