Sultan Nazrin rasmi SMK Kampung Bahagia

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara beramah mesra bersama murid yang hadir pada majlis perasmian tersebut.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara beramah mesra bersama murid yang hadir pada majlis perasmian tersebut.
A
A
A

TELUK INTAN - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Bahagia di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin; Exco Kerajaan Perak, Asmuni Awi mewakili Menteri Besar Perak; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman serta beberapa exco kerajaan negeri yang lain.

Dalam majlis tersebut, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam ucapannya memberitahu, Kementerian Pendidikan berusaha membentuk ekosistem pembelajaran Abad ke-21 bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai.

Katanya, ia lakukan melalui budaya sekolah, prasarana, penglibatan ibu bapa dan komuniti, guru profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

"Saya yakin bahawa pentadbiran sekolah yang berkesan akan berupaya menghasilkan iklim pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan, memberi aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira dan bersemangat untuk belajar," katanya.

Teks ucapan Maszlee dibacakan Amin. Dalam pada itu, Maszlee turut memberi jaminan memastikan segala keputusan menyentuh dasar dan polisi dibuat kementerian berkenaan berdasarkan pertimbangan profesional.

Katanya, kesemua keputusan akan mengambil kira pelbagai aspek demi kepentingan pendidikan rakyat seluruhnya.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, saya akan berlapang dada untuk mendengar pandangan serta kritikan daripada semua pihak dan akan menimbang dengan seadil-adilnya tanpa dibelenggu kepentingan peribadi atau kepentingan mana-mana pihak," katanya.

SMK Kampung Bahagia dibina pada September 2017 dan mula beroperasi sejak 2 Jan tahun lalu.

Sekolah berkenaan terletak kira-kira tujuh kilometer dari bandar Teluk Intan dan bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia.

Pembinaan sekolah tersebut melibatkan kos RM30.1 juta dengan bangunan setinggi tiga tingkat, 24 bilik darjah dan dilengkapi beberapa kemudahan lain.

SMK Kampung Bahagia ini mampu menempatkan seramai 263 pelajar terdiri daripada tingkatan satu hingga tiga.

Sementara pelajar sekolah berkenaan diambil dari sekolah-sekolah rendah berhampiran Kampung Bahagia, Sungai Kerawai, Sungai Tunku dan Sungai Suli.