TNG Digital lantik Ignatius Ong sebagai CEO

Ignatius Ong
Ignatius Ong
A
A
A

TNG Digital Sdn Bhd, usaha sama antara Touch ‘n Go Sdn Bhd dan Ant Financial Group, telah melantik Ignatius Ong sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa 12 Ogos, 2019.

Ignatius menggantikan Syahrunizam Samsudin yang kembali semula ke jawatannya sebagai CEO Touch ‘n Go.

“Kami sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan Ignatius menyertai syarikat yang boleh dikatakan berkembang paling pantas di Malaysia.

“Beliau berpengalaman luas untuk mengisi jawatan itu, dan dengan mandat kukuh untuk memacu pertumbuhan TNG Digital yang berusaha untuk mengekalkan dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penggiat No.1 e-wallet di negara ini, secara langsung menyokong agenda tanpa tunai negara,” kata Pengerusi TNG Digital Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam kenyataan hari ini.

TNG Digital sedang mewujudkan ekosistem tanpa tunai No.1 di Malaysia, bagi memenuhi keperluan masyarakat digital yang sentiasa berubah menerusi platform pembayaran gaya hidup tanpa batasan iaitu Touch ‘n Go eWallet.

Sebagai veteran syarikat penerbangan selama 15 tahun, Ignatius menyertai TNG Digital dengan jawatan paling terkini sebelum ini sebagai ketua pegawai perolehan kumpulan Malaysia Airlines dan sebelum itu sebagai CEO syarikat penerbangan tambang rendah Firefly dari 2011 hingga 2018.

Tanggungjawab beliau sebelum ini di kedua-dua syarikat penerbangan meliputi pelbagai bidang bagi pertumbuhan, perolehan dan pengurusan organisasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: