Terengganu rangka 128 program pertanian dalam tempoh lima tahun

Ahmad Samsuri (tengah) ketika melancarkan Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Terengganu 2019-2023 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.
Ahmad Samsuri (tengah) ketika melancarkan Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Terengganu 2019-2023 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri merangka 128 program pertanian dalam tempoh lima tahun menerusi Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Terengganu 2019 hingga 2023.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program yang dirancang dalam tempoh lima tahun itu turut menggariskan enam teras strategik yang mengandungi keseluruhan 61 strategi.

"Pendekatan yang difokuskan pada 2019 ialah fasa pemulihan pelbagai kemudahan dan infrastruktur pertanian dan asas tani sedia ada.

"Kita dapati ada kemudahan infrastruktur pertanian yang rosak dan tidak sesuai digunakan, ia akan dipulihkan untuk digunakan bagi tahun berikutnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Terengganu 2019-2023 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk A Rahman Yahya.

Ahmad Samsuri berkata, pelan strategik pertanian itu akan dilaksana secara berperingkat bermula tahun pertama hingga tahun kelima.

Katanya, ia akan turut memberi fokus bagi mengemas kini semula status tanah kerajaan yang diwartakan dan dirizabkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara bagi tujuan pertanian, perikanan dan penternakan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas berlakunya pembangunan, terdapat tanah-tanah yang dimajukan menjadi kampung dan terdapat kemudahan lain.

"Kita akan fokus kepada sistem perparitan atau lain-lain aspek yang menjejaskan jumlah tanah-tanah yang dirizabkan untuk tujuan pertanian, perikanan dan penternakan," katanya.

Selain itu, katanya, pelan strategik itu juga memberi fokus bagi memanfaatkan tanah-tanah pertanian kosong dan memperkayakan sumber perikanan serta penternakan.

Menurutnya, terdapat 12,000 hektar (27 peratus) daripada 251,000 hektar tanah tanah kosong yang sesuai untuk pertanian, belum diusahakan.

"Berdasarkan data 2017, masih banyak tanah kosong yang boleh digunakan dan dimanfaatkan.

"Kita ambil maklum penambahbaikan yang boleh kita buat dari semasa ke semasa," katanya.