Hidu asap tapak pembuangan sampah haram

Penduduk bersama Jimmy di tapak pembuangan sampah haram yang terletak di penghujung Jalan Bukit Kempas 4/4, Taman Bukit Kempas.
Penduduk bersama Jimmy di tapak pembuangan sampah haram yang terletak di penghujung Jalan Bukit Kempas 4/4, Taman Bukit Kempas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk di Taman Bukit Kempas di sini terpaksa menghidu asap setiap hari sejak tapak pembuangan sampah haram berdekatan rumah mereka terbakar sebulan lepas.

Kawasan seluas kira-kira 1.21 hektar itu yang terletak di penghujung Jalan Bukit Kempas 4/4 taman berkenaan, sehingga kini masih mengeluarkan asap tebal hingga menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk.

Seorang penduduk, A Subramanian, 68, yang tinggal kira-kira 100 meter dari kawasan itu berkata, dia sendiri terpaksa dimasukkan ke hospital Jumaat lalu akibat mengalami batuk dan sesak nafas.

Menurutnya, dua cucunya yang berusia dua dan empat tahun juga terpaksa mendapatkan rawatan ke klinik berhampiran berikutan mengalami masalah yang sama.

"Difahamkan masalah ini telah diajukan kepada pihak berkenaan dan tindakan telah diambil, namun ia masih mengeluarkan asap dan kami terpaksa menghidunya setiap hari.

"Saya benar-benar tidak selesa. Diharap pihak berwajib segera mengambil tindakan demi mengelak lebih ramai lagi yang jatuh sakit," katanya yang menghuni perumahan berkenaan sejak tahun 1994.

Asap tebal masih keluar dari kesan pembakaran di tapak pembuangan sampah haram yang terletak di penghujung Jalan Bukit Kempas 4/4, Taman Bukit Kempas.
Asap tebal masih keluar dari kesan pembakaran di tapak pembuangan sampah haram yang terletak di penghujung Jalan Bukit Kempas 4/4, Taman Bukit Kempas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ibrahim Kadir, 56 mendakwa tapak pembuangan sampah haram telah wujud sejak dua tahun lalu.

"Setiap hari, pasti ada sahaja pelbagai jenis lori, keluar masuk ke kawasan itu untuk membuang sampah.

"Kemungkinan kebakaran berpunca daripada sampah yang dibuang adalah bahan mudah bakar. Tapi saya bersyukur ia tidak merebak ke kawasan perumahan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Kempas, Hambali Munadi berkata, dia segera memaklumkan kepada agensi berkaitan berhubung permasalahan tersebut.

"Pihak berkaitan sedia maklum masalah ini dan telah mengambil langkah pencegahan. Pihak bomba pula telah berusaha memadamkan kebakaran sebelum ini," katanya yang memaklumkan tidak pasti pemilik tanah kawasan itu.

Salah seorang penduduk menunjukkan salinan laporan yang telah dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab sebelum ini berhubung kes tapak pembuangan sampah haram kepada Jimmy.
Salah seorang penduduk menunjukkan salinan laporan yang telah dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab sebelum ini berhubung kes tapak pembuangan sampah haram kepada Jimmy.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Kempas, Zainah Abdul Hamid berkata, MBJB telah mengeluarkan belanja lebih RM70,000 untuk melakukan usaha pemadaman.

"MBJB telah bertungkus lumus mengatasi masalah itu. Difahamkan tanah tersebut mempunyai tuannya dan pihak tersebut sedang dalam tindakan sepatutnya daripada Pejabat Tanah Galian," katanya.

Dalam pada itu, Exco Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah berkenaan dalam masa dua minggu.

"Kebetulan saya ada program di Banjaran, Kempas yang berhampiran kawasan ini. Saya dipanggil untuk melihat isu ini dan mendapati ia sememangnya serius. Saya akan membawanya ke dalam mesyuarat Exco Rabu ini.

"Saya juga akan hubungi pihak berkaitan dan memberi jaminan dalam masa dua minggu ini untuk mengambil tindakan termasuk mencari punca dan mengenalpasti pihak bertanggungjawab yang terlibat supaya dapat dikenakan tindakan undang-undang," katanya.