Pantai Sepat dicemari sisa binaan

Sisa binaan tersebut yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab amat mementingkan diri kerana berhampiran jalan utama ke Pantai Sepat.
Sisa binaan tersebut yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab amat mementingkan diri kerana berhampiran jalan utama ke Pantai Sepat.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa binaan di tepi jalan utama Pantai Sepat menjadi kebimbangan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Lebih mengecewakan sisa binaan tersebut mencacatkan pemandangan selain memberi pandangan negatif kepada pengunjung dan pelancong yang datang ke Pantai Sepat, berikutan lokasi itu terkenal sebagai tempat riadah hujung minggu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Rahman, 31, berkata, sisa binaan itu baharu sahaja dibuang di kawasan berkenaan dan dipercayai dilakukan oleh orang luar pada waktu malam.

"Kalau ikutkan sebelum ini memang tiada tapi bila petang semalam saya lalu jalan tersebut, saya perasan ada sisa binaan yang betul-betul dibuang berhampiran jalan utama. Ini bukan dilakukan oleh orang kampung.

"Saya harap agar agensi yang terlibat dapat bantu penduduk di sini untuk kenal pasti siapa yang telah buang sisa binaan di sini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, tinjauan Sinar Harian mendapati sisa binaan tersebut dibuang berhampiran jalan utama berdekatan dengan rumah penduduk Kampung Sri Cempaka.

Ia juga berdekatan dengan papan tanda selamat datang ke Kampung Sri Cempaka selain jaraknya hanya kira-kira 1KM dari Pantai Sepat.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti individu yang membuang sisa binaan di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi memberi pengajaran yang setimpal kepada pemilik sisa binaan itu.

"SWCorp akan ambil tindakan segera dan kini kita sedang mengenal pasti siapa pemilik tanah tersebut atau siapa yang telah memberi kebenaran untuk membuang sisa binaan di kawasan itu.

"Kemungkinan kita akan memberi amaran atau mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda minima RM10,000 dan maksima RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang dari enam bulan serta tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.