#QuranHour: 300 geng 'bikers' sertai Jom Cuci Masjid

Kempen Malaysia #QuranHour dan upacara penyerahan Panji Al-Kahfi yang diadakan sempena Program Jom Cuci Masjid di Masjid Ubaidah Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah.
Kempen Malaysia #QuranHour dan upacara penyerahan Panji Al-Kahfi yang diadakan sempena Program Jom Cuci Masjid di Masjid Ubaidah Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah.
A
A
A

MELAKA -[VIDEO]Lebih 300 konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi (bikers) menyertai program Jom Cuci Masjid di samping menggerakkan kempen Malaysia #QuranHour yang diadakan di Alor Gajah di sini.

Program anjuran Jabatan Operasi Teknikal, Media Prima Berhad dengan kerjasama rakan sinergi, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Lembaga Masjid Ubaidah dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di bawah Kumpulan Media Karangkraf.

Masjid Ubaidah, Kampung Melaka Pindah menjadi lokasi pilihan untuk program yang memasuki siri ke-34 tersebut.

Kesemua konvoi dan peserta berhimpun di Bandar Baru, Simpang Empat sebelum dilepaskan ke Masjid Ubaidah oleh Exco Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Melaka, Ginie Lim.

Sebagai pembuka tirai aktiviti dimulakan dengan ibadah solat sunat dhuha berjemaah dan diikuti dengan solat hajat serta majlis tahlil yang dipimpin oleh Imam II Masjid Ubaidah, Ustaz Fazrul Ismail.

Turut diadakan kempen Malaysia #QuranHour dan upacara penyerahan Panji Al-Kahfi yang diserahkan kepada Presiden Sifu Bikerz, Hanafiah Abdul Malek.

Pengarah program Jom Cuci Masjid, Muhammad Hafizan Mohd Ani berkata, mereka kemudiannya dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menjalankan kerja-kerja membersih, mengecat masjid, tanah perkuburan dan dua lokasi bersejarah iaitu Makam Datuk Harimau Kambing dan Makan Dato Maharaja Lela.

"Seperti sebelumnya, aktiviti sebegini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan kakitangan Media Prima, bikers dan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Menariknya di samping mereka menjalankan aktiviti gotong-royong kami turut menyelitkan sesi tazkirah bagi pengisian rohani di tapak Tanah Perkuburan Islam Melaka Pindah yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negeri Melaka, Datuk Muhammad Hashim, Ustaz Hanafiah, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail," katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Sebahagian peserta konvoi bikers yang menyertai program 'Jom Cuci Masjid' dan kempen Malaysia #QuranHour yang dilepaskan Exco Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim.
Sebahagian peserta konvoi bikers yang menyertai program 'Jom Cuci Masjid' dan kempen Malaysia #QuranHour yang dilepaskan Exco Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusof berkata, sebelum ini program seperti ini pernah dijalankan bersama antara WUIF dan Jabatan Teknikal Media Prima di Janda Baik, Pahang pada 2013.

"Kali ini kita bersinergi semula untuk mengambil momentum menuju Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan. Sejak awal tahun ini kita membawa Misi Al-Kahf menerusi World Convension Al-Kahf dan World #QuranHour.

"Kini misi tersebut diteruskan pada Malaysia #QuranHour dengan mentadabbur 10 ayat awal dan kaitan 10 ayat tersebut dalam surah Al-Kahfi dengan menyasarkan golongan bapa sebagai pemimpin keluarga," katanya.

Mengenai program Jom Cuci Masjid beliau berharap peserta kariah kampung Melaka Pindah akan dapat menghayati Surah Al-Kahfi.

Sementara itu, Ginie ketika diminta mengulas mengenai program berkenaan berkata, ia diadakan tepat pada masanya menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha dan sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

"Program ini dapat menyemarakkan lagi semangat rakyat berbilang kaum untuk bersama-sama berkorban membangunkan negara dalam suasana politik matang di era Malaysia Baru.

"Saya dimaklumkan ini adalah satu program yang berterusan antara usaha mendekati masyarakat dalam membina pembangunan rohani menerusi aktiviti diaturkan," katanya.

Pada program ini juga, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf diikuti pengagihan Bubur Lambuk Kampung Warisan Melaka Pindah dan jamuan Daging Assam Gerang Pindah.

WUIF turut menyampaikan sumbangan sebanyak 60 naskah al-Quran wakaf daripada pelanggan Kumpulan Media Karangkraf kepada Masjid Ubaidah.

Kemuncak acara tersebut, peserta berpeluang berkenaan dengan wira yang tidak didendang, Jantan Baba, 95, seorang pejuang yang diiktiraf oleh kerajaan British atas keberaniannya membunuh seramai tujuh pengganas komunis dalam serangan hendap di Negeri Sembilan sekitar era 1950-an lalu.

Bikers sertai 'Jom Cuci Masjid', kempen Malaysia #QuranHour

Bikers sertai 'Jom Cuci Masjid', kempen Malaysia #QuranHour LEBIH 300 konvoi bermotosikal kuasa tinggi (bikers) menyertai program 'Jom Cuci Masjid' di samping menggerakkan kempen Malaysia #Quran Hour yang diadakan di Alor Gajah baru-baru ini. Anjuran Jabatan Operasi Teknikal, Media Prima Berhad, dengan kerjasama rakan sinergi, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Lembaga Masjid Ubaidah dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di bawah Kumpulan Media Karangkraf. Memilih Masjid Ubaidah, Kampung Melaka Pindah menyaksikan kesemua konvoi dan peserta berhimpun di Bandar Baru, Simpang Empat sebelum dilepas ke lokasi berkenaan oleh Exco Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim. Ikuti laporan Wartawan Sinar Harian Melaka, Amran Ali

Posted by Sinar Harian on Monday, August 5, 2019