X

Kindly register in order to view this article
!

Pasukan X4 Advantures redah lumpur bantu Orang Asli Pos Balar

Sekolah Kebangsaan Balar yang menempatkan seramai 26 guru, 12 kakitangan serta 265 murid-murid dari perkampungan persekitaran.
A
A

GUA MUSANG - Prihatin dengan kekurangan keperluan anak-anak kecil orang asli di Pos Balar, Gua Musang, pasukan sukarelawan yang menggelarkan diri sebagai X4 Advantures menghulurkan bantuan melalui misi keduanya pada akhir Julai lalu.

Penasihatnya, Datuk Azlam Shah Alias berkata, fokus misi kedua ini adalah membawa barangan keperluan untuk melengkapkan Sekolah Kebangsaan Balar yang menempatkan seramai 26 guru, 12 kakitangan serta 265 murid-murid dari perkampungan persekitaran.

“April lalu, saya dan pasukan telah ke perkampungan itu dan mendapati sekolah tersebut masih memerlukan beberapa peralatan untuk kemudahan cikgu dan murid-muridnya.

“Jadi misi kali ini kami bawa beberapa peralatan seperti projektor dan buku-buku untuk melengkapkan perpustakaan,” katanya pada Sinar Harian.

Menurutnya, misi itu turut melibatkan pakar-pakar perubatan yang mana turut menyediakan aktiviti-aktiviti persediaan kecemasan kepada penduduk terutamanya kepada golongan ibu bapa di sana.

“Selain mengadakan sukaneka, kami menyediakan aktiviti kecemasan yang mana mendidik ibu bapa di sana bagaimana berhadapan dengan situasi kecemasan seperti sengatan ular, tercekik, luka dan sebagainya. Program ini penting sebagai persiapan mereka berhadapan dengan situasi kecemasan sebelum ke hospital.

“Kami amat terharu melihat semangat dan keterujaan mereka untuk terlibat sama dalam aktiviti ini. Ramai yang bertanya lebih-lebih lagi mengenai bagaimana mahu menguruskan sengatan ular,” katanya.

Azlam Shah (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama sebahagian pasukan X4 Advantures
Azlam Shah (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama sebahagian pasukan X4 Advantures

Beliau berkata, masih terdapat beberapa perkara perlu dilakukan bagi memastikan murid-murid sekolah itu mendapat pendidikan yang lebih baik.

“Kami dimaklumkan oleh guru-guru di sana bahawa penerimaan murid-murid terhadap pembelajaran di dalam bilik darjah hanya 30 peratus sahaja tapi jika waktu pembelajaran dilakukan di luar seperti bawah pokok, ia lebih berkesan.

“Ini menunjukkan bahawa anak-anak ini lebih sukakan persekitaran yang semula jadi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, melalui misi seterusnya pihaknya bercadang untuk membina bilik darjah outdoor yang akan dihias dengan bahan-bahan semula jadi seperti buluh dan dinamakan sebagai Happy Cabana selain membina klinik bergerak (mobile clinic) untuk penduduk di sana.

“Cabana adalah perkataan dari Sepanyol yang bermaksud pondok atau tempat perlindungan di tepi pantai dan perkataan ini sesuai untuk bilik darjah yang akan kita bina nanti. Manakala perkataan happy pula menggambarkan keadaan murid-murid yang gembira belajar di persekitaran semula jadi.

“Jadi apa yang kami buat sekarang adalah mengumpul dana untuk kedua-dua projek tersebut yang akan menelan kos kira-kira RM15,000. Setakat ini saya dan kawan-kawan yang menyumbang dalam projek ini, tapi kalau ada orang luar yang mahu bantu, kami alu-alukan kerana masih banyak keperluan untuk sekolah tersebut,” katanya.

Katanya, walaupun misi ke perkampungan orang asli ini memberi cabaran yang hebat kerana lokasinya yang jauh, namun penghargaan dan sambutan yang diberikan penduduk itu seakan memberi semangat serta kepuasan buat pasukan itu untuk terus menghulurkan bantuan.

“Keadaan mereka di sana masih mundur dan tidak cukup makan minum, jadi inilah sedikit bantuan yang kami sumbangkan kepada mereka.

“Walaupun terpaksa meredah perjalanan 50 kilometer (km) yang mana separuh daripadanya jalan berlumpur, saya masih rasa sangat berpuas hati kerana dapat membantu tambahan pula mereka sangat menghargai walaupun apa yang diberikan kepada mereka tidaklah besar,” katanya.

Bagi orang ramai yang berminat untuk menyalurkan bantuan wang ringgit atau barang keperluan yang lain boleh menghubungi Azlam Shah di talian 012-2065561 atau Jeff Zaiham 012-3012632.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!