Polis rampas dua pistol, senapang buatan sendiri

Abdul Rahim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dua pucuk pistol dan selaras senapang yang dirampas dari dua lelaki, Khamis lalu pada sidang media di IPD Kota Bharu hari ini.
Abdul Rahim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dua pucuk pistol dan selaras senapang yang dirampas dari dua lelaki, Khamis lalu pada sidang media di IPD Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis merampas dua pucuk pistol bersama selaras senapang buatan sendiri daripada dua lelaki dalam serbuan di Kedai Lalat dan Padang Bemban di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bermula jam 2 pagi hingga 2.30 pagi.

Menurutnya, hasil maklumat dan risikan, polis menahan suspek yang berusia 24 tahun di hadapan sebuah kedai makan di Kedai Lalat dan pemeriksaan terhadap tubuh badannya menjumpai sepucuk pistol tiruan berwarna hitam berserta satu kelopak peluru terselit di pinggang.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai sepasang gari dalam poket belakang seluar dipakai. Seterusnya pemeriksaan di dalam kereta jenis Perodua Viva dipandunya menemui bungkusan plastik berisi 32 bebola besi dan satu vest polis.

"Hasil keterangan awal suspek mengaku membeli pistol bertulisan 'Gas Blow Back System Wet 5168' bersama gari tersebut di negara jiran dengan harga RM800 dua minggu lalu,” katanya pada sidang media di IPD Kota Bharu, di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, berpandukan suspek berkenaan, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Padang Bemban dan menahan rakan suspek berusia 46 tahun.

“Pemeriksaan polis di dalam stor bersebelahan rumah tersebut menjumpai selaras senapang angin buatan sendiri yang berbalut pita pelekat berwarna hitam bersama 103 peluru guli.

“Selanjutnya, pemeriksaan di dalam rumah pula menjumpai sepucuk pistol berwarna perak bertulisan 'Military Spec Combat Pistol' bersama sarung berwarna hitam di ruang tamu rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal kedua-dua suspek memberitahu senapang itu digunakan untuk menembak tupai, manakala pistol dikatakan untuk melindungi diri.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar pemilikan senjata api tersebut.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama seminggu bermula 1 hingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.