Warga PPR Kota Bharu turut diserang semut charlie

Pada waktu malam, charlie akan melekat di dinding utama laluan ke setiap rumah. Gambar kecil, Siti Mariam Muhammad Azhar.
Pada waktu malam, charlie akan melekat di dinding utama laluan ke setiap rumah. Gambar kecil, Siti Mariam Muhammad Azhar.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Jalan Kelocor baru sahaja dihuni, namun ia tetap tidak terkecuali berdepan serangan semut berbisa atau lebih dikenali sebagai charlie.

Bukan hanya di kawasan tersebut, malah serangan semut itu turut berlaku di beberapa kawasan di daerah ini, terutamanya di kawasan yang berpadang, bersawah dan lembap, selain di bangunan-bangunan tinggi.

Salah seorang penghuni, Siti Mariam Muhammad Azhar, 39, mengambil langkah awal membuat laporan kepada pihak pengurusan PPR setelah melihat keadaan semakin tidak terkawal hasil perkongsian melalui aplikasi WhatsApp kumpulan yang diwujudkan penghuni PPR itu.

Walaupun masih tinggal di kediaman orang tuanya, namun Mariam kini dalam proses berpindah sepenuhnya ke PPR dan sentiasa melihat keadaan semasa dan mengikut perkembangan melalui grup WhatsApp yang disertainya.

Charlie juga boleh dilihat di pemegang tangga setiap blok di PPR itu.
Charlie juga boleh dilihat di pemegang tangga setiap blok di PPR itu.

“Saya risau dan takut sangat sebab ada yang sudah terkena bisa semut tersebut. Jadi, bila keadaan makin teruk saya ambil keputusan untuk buat aduan supaya ia dapat dibendung segera.

“Saya rujuk terlebih dahulu pihak pengurusan PPR dan selepas itu saya buat aduan melalui sepucuk surat bertarikh 20 Jun kepada jabatan kesihatan daerah untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas hantar surat, Alhamdulilah. Dalam masa dua hari, pihak jabatan kesihatan ambil tindakan penyemburan dan dalam masa yang sama berkongsi kepada kami petua untuk memastikan semut tersebut tidak mendekati rumah kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Mariam memberitahu, selepas aduan dilakukan, serangan semut semakin berkurangan dan mereka telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak-anak dan penghuni tidak digigit binatang berbisa itu.

Bagaimanapun, kebimbangan tetap menghantui penghuni PPR memandangkan serangan semut tersebut adalah bermusim, tambahan pula habitat asalnya ialah tempat tinggi, lembab dan cerah.

Charlie yang dilihat di atas meja makan di kediaman Firman.
Charlie yang dilihat di atas meja makan di kediaman Firman.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang juga penghuni PPR tersebut, Firman Thamrin, 35, ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, beliau tidak pernah mengetahui kewujudan semut itu dan hanya mengenalinya setelah mengadakan gotong-royong untuk membasuh rumahnya.

Menurutnya, dia mengetahui pada mulanya dia hanya menyangka ia merupakan semut biasa namun salah seorang anak saudaranya memberitahu bahawa semut tersebut dikenali sebagai charlie dan ia berbisa.

“Masa saya basuh rumah, memang saya jumpa banyak semut ini di tepi-tepi dinding, kawasan tadahan air dan kawasan lembap. Anak saudara ada beritahu yang semut ini bahaya, tapi saya tak pasti sejauh mana bahayanya terhadap kulit kita.

“Bila dilihat secara dekat, kita boleh nampak belakangnya ada satu sengat yang serupa dengan kala jengking," katanya.

Firman berkata, ketika itu dia beranggapan bahawa bisa semut tersebut mungkin sama dengan kala jengking.

“Saya ingat lagi, saya ada jentik semut ini sebab ia melekat di baju saya tapi saya tak fikir apa-apa pada masa itu. Tapi selepas bangun daripada tidur, belakang tengkuk saya rasa panas sangat.

Tangan Firman kelihatan merah seperti ruam sewaktu mula-mula terkena bisa charlie.
Tangan Firman kelihatan merah seperti ruam sewaktu mula-mula terkena bisa charlie.

“Saya hanya sapu-sapu dengan tangan dan garu bila tidak tahan. Namun keadaan semakin teruk apabila ia mula membengkak ada timbul bintik-bintik kecil yang berisi air. Saya ambil keputusan untuk ke hospital dan doktor beritahu ia merupakan bisa semut charlie, dia nasihatkan saya untuk buat laporan kepada pihak jabatan kesihatan,” katanya.

Katanya, dia terus memaklumkan perkara tersebut di dalam grup WhatsApp selain berkongsi maklumat yang diberitahu doktor mengenai apakah tindakan awal yang perlu dilakukan jika terkena bisa serangga itu.

“Mujur ada grup WhatsApp, boleh kita kongsi pelbagai maklumat selain menyatukan kami semua.

“Melalui cara ini juga kita kenal antara satu sama lain di kejiranan ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Semut charlie 'serang' Kelantan