Semut charlie 'serang' Kelantan

Semut charlie. - Foto sumber internet. Gambar kecil: Dr Zaini
Semut charlie. - Foto sumber internet. Gambar kecil: Dr Zaini
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menerima 39 aduan serangan semut charlie melibatkan beberapa daerah utama di negeri ini sehingga Sabtu lalu.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, antara daerah yang paling banyak menerima aduan adalah Kota Bharu iaitu 23 aduan, diikuti Bachok, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

“Aduan mengenai charlie mulai diterima pada Mac sehingga 31 Julai tahun ini. Serangan semut charlie di Kelantan kebanyakan berlaku di bangunan-bangunan tinggi seperti di sekolah berasrama, pusat pengajian dan diikuti kuarters kerajaan.

“Semua aduan telah dibuat siasatan oleh JKN Kelantan dan tindakan kawalan telah dilaksanakan mengikut lokasi infestasi semut charlie serta mengikut kesesuaian kawalan kerana bukan semua aduan dibuat semburan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Dr Zaini berkata, serangga itu boleh mendatangkan kesan kepada kulit manusia dan semua penghuni di lokasi-lokasi yang berkaitan perlu mengurangkan kontak dengan serangga tersebut.

Katanya, pelbagai langkah boleh dilakukan untuk mencegah daripada terkena serangan semut charlie termasuk menjauhkan serangga itu dari rumah kediaman.

“Saya nasihatkan tutup semua pintu dan tingkap (termasuk tingkap tandas) pada waktu malam. Tutup lampu pada waktu malam untuk mengurangkan bilangan charlie memasuki rumah kerana semut ini tertarik kepada cahaya lampu.

“Bahagian yang terbuka perlu dipasang jaring halus untuk mengelakkan charlie masuk ke dalam bangunan atau rumah. Sekiranya terjumpa, jangan sentuh dengan tangan, elakkan cecair badan charlie terkena kulit kita kerana toksin pada cecair badan serangga itu boleh menyebabkan kulit melecur dan merah.

Artikel Berkaitan:

“Gunakan alat untuk mencungkil atau tiup sahaja serangga tersebut. Sekiranya selamat dan anda atau keluarga anda tidak terdedah kepada bahaya darah serangga ini, barulah ia dibunuh. Pastikan cecair terhasil daripadanya dibersihkan sepenuhnya," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memeriksa pakaian, cadar, selimut dan sarung bantal sebelum digunakan.

"Jika terkena cecair toksin, segera basuh dengan sabun dan air yang banyak. Toksin 'pederin' ini menyerap kulit manusia dengan lambat. Oleh sebab itu pembersihan segera akan dapat mengurangkan kesan lebih buruk ke atas kulit.

"Saya juga nasihatkan untuk pakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang, kerana dikhuatiri charlie akan terbang dan bersentuh dengan kulit. Apa yang penting, jika kesan berlanjutan dan semakin teruk, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berhampiran,” katanya.

Fakta semut charlie:

- Sejenis kumbang yang mempunyai saiz kurang satu sentimeter panjang dan berwarna jingga serta hitam berkilat.

- Mempunyai sepasang sayap lut sinar, yang dilipat rapi.

- Kelihatan seperti semut yang merayap dalam keadaan biasa. Tidak menggigit atau menyerang manusia.

- Charlie ini mempunyai 'haemolymph' yang berfungsi seperti darah. Haemolymph ini mengandungi sejenis toksin yang dipanggil pederin. Toksin ini boleh menyebabkan kulit kemerahan, kegatalan dan melecur. Keradangan kulit disebabkan oleh charlie ini dinamakan 'Paederus dermatitis'.

- Kebiasaannya serangga ini boleh ditemui di kawasan yang mempunyai takungan air seperti di kawasan paya, sawah padi, ladang kelapa sawit dan kawasan padang.

- Semut charlie membiak di tumbuhan mereput dan akan berpindah ke kawasan kering jika berlaku hujan atau banjir.

- Semut charlie tertarik kepada cahaya lampu pada waktu malam.