Penembak Walmart dipercayai tiru serangan Christchurch

Patrick Crusius, penyerang yang melepaskan tembakan rambang dan membunuh 20 pengunjung Walmart di El Paso di Texas telah diberkas polis.
Patrick Crusius, penyerang yang melepaskan tembakan rambang dan membunuh 20 pengunjung Walmart di El Paso di Texas telah diberkas polis.
A
A
A

AUSTIN - Beberapa media di Amerika Syarikat (AS) percaya suspek yang melepaskan tembakan di pasar raya Walmart di El Paso, Texas semalam cuba meniru serangan pengganas di New Zealand.

Kedua-dua penyerang juga berkongsi pandangan sama mengenai kebanjiran golongan pendatang, namun tiada maklumat mengesahkan hubung kait serangan di Christchurch dan El Paso.

Dalam serangan di Christchurch pada 15 Mac lalu, pengganas Australia, Brenton Tarrant memuat naik manifesto antipendatang di media sosial beberapa jam sebelum melancarkan serangan di dua buah masjid yang meragut 51 nyawa.

CBS melaporkan, Patrick Crusius memuat naik manifestonya di forum 8chan sebelum melakukan serangan di gedung itu kelmarin.

Dalam manifestonya, pemuda berusia 21 tahun itu menjelaskan ‘serangan Hispanik Texas’ antara sebab dia melancarkan serangan tersebut, lapor CBS.

CNN melaporkan, dokumen sebanyak 2,300 patah perkataan itu mengandungi kata-kata nasionalis dan kebencian terhadap pendatang asing serta orang Latin.

Selain itu, suspek turut menyalahkan pendatang asing dan rakyat generasi pertama Amerika Syarikat menguasai sektor pekerjaan.

Suspek mendedahkan mengambil tempoh hampir sebulan untuk merancang serangan terbabit. - Agensi

Artikel Berkaitan: