Sila log masuk terlebih dahulu.

Bapa mangsa hanyut tidak halang anak bekerja di resort

Kesemua mangsa berada dalam keletihan sewaktu diselamatkan semalam.
Kesemua mangsa berada dalam keletihan sewaktu diselamatkan semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Saya tiada halangan sekiranya anak mahu meneruskan kerjanya di resort berkenaan, meskipun baru melalui pengalaman perit dalam hidupnya," kata Mohd Awalluddin Adam, 51.

Mohd Awalludin merupakan bapa kepada Muhammad Firdaus, 25, salah seorang pekerja resort Pulau Tenggol, Terengganu yang ditemui selamat semalam selepas dilaporkan hilang di laut sejak Rabu lepas.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan itu mahu anak kedua daripada empat beradik itu pulang ke rumah mereka di Taman Universiti dekat Skudai di sini.

"Saya mahu membawa dia pulang ke rumah kami dan adakan kenduri doa selamat. Kalau boleh biarlah dia bercuti dan berehat serta tenangkan diri. Apatah lagi, itu pengalaman pertama dalam hidupnya berdepan situasi sedemikian.

"Dia baru tiga bulan bekerja di resort itu dan difahamkan masih lagi dalam tempoh latihan. Jika dia mahu kembali bekerja di Terengganu, itu terpulang kepadanya. Saya tetap akan memberi sokongan dan sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya," katanya yang masih menanti anaknya tiba di Jeti Aking, Kuala Dungun, Terengganu hari ini.

Mohd Awalludin berkata, dia bersyukur anaknya selamat dan mereka akan pulang ke Johor esok.

Mengimbas kembali saat dimaklumkan kejadian menimpa Muhammad Firdaus, dia mengakui sangat terkejut, namun tetap memanjat doa supaya anak bersama dua rakannya terselamat daripada musibah tersebut.

"Saya bersama tiga anak yang lain terus datang ke Dungun untuk mengetahui perkembangan Muhammad Firdaus. Saya reda dengan ketentuan Ilahi, tetapi benar-benar bersyukur ALLAH masih panjangkan umur anak dan kawan-kawannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pekerja resort dibawa pulang

Muhammad Firdaus bersama Fauzi Mohamad, 40, dan Mohd Hafiz Abdul Rahim, 22, hanyut di laut sejak Rabu lepas selepas bot dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Kuala Dungun ke Pulau Tenggol untuk menghantar bekalan air minuman dan tong gas memasak ke resort mereka mengalami kerosakan.

Selepas tiga hari dilaporkan hilang, kesemua mereka ditemukan selamat oleh nelayan laut dalam di sempadan perairan negara sebelum dibawa ke Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas.

Pagi ini, kesemua mangsa selamat tiba di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Terengganu sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.