PM nasihat jemaah haji jaga kesihatan

Dr Mahathir bersalaman dengan para bakal haji semasa majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji itu ke Tanah Suci Musim Haji 1440/2019M di Kompleks Tabung Haji Sepang hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir bersalaman dengan para bakal haji semasa majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji itu ke Tanah Suci Musim Haji 1440/2019M di Kompleks Tabung Haji Sepang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nasihati para jemaah haji agar mengikuti segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan supaya tahap kesihatan sentiasa baik untuk melaksanakan ibadat dengan sempurna.

Menurutnya, ini kerana haji merupakan ibadat yang memerlukan kekuatan fizikal dan emosi memandangkan keadaan di tanah suci akan sesak di samping cuaca yang panas.

“Semasa musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di tanah suci yang keadaannya pasti sesak di samping cuaca yang panas.

“Jemaah perlu berulang-alik ke masjid selain tawaf, sa’ie, melontar dan lain-lain ibadat sunat. Untuk semua ini tubuh badan yang sihat dan cergas diperlukan,” katanya dalam Majlis Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Dr Mahathir turut ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang turut diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada masa sama, beliau turut meminta agar para jemaah mendoakan Malaysia agar terus menjadi negara yang aman.

“Semasa di tanah suci nanti, doakanlah agar negara kita Malaysia terus aman dan sejahtera kerana hanya dengan keamanan, kita semua dapat melaksanakan ibadat menurut syariat yang dituntut oleh ALLAH SWT dengan tenang tanpa rasa bimbang atau takut.

“Saya juga ingin nasihat para jemaah untuk menggunakan kesempatan semasa menjadi tetamu Allah SWT dengan sebaik-baiknya. Elakkan pembaziran masa dengan perkara- perkara yang tidak berfaedah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut berharap agar TH terus komited melangkah ke hadapan dalam meningkatkan tahap perkhidmatan baik dari segi pengurusan haji, simpanan dan pelaburan agar ia sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia.

“TH merupakan institusi pengurusan haji yang amat dekat dengan hati semua umat Islam di Malaysia. Kalau dulu sebelum adanya TH, proses mengerjakan perjalanan haji amat sukar dan panjang kerana terpaksa menaiki kapal laut selama berbulan-bulan dan tiada tempat tinggal yang sempurna apabila tiba di tanah suci.

“Kini jemaah haji Malaysia merupakan antara yang paling beruntung berbanding jemaah- jemaah haji negara lain. Dengan adanya Tabung Haji, layanan dan urusan haji lebih teratur kerana semuanya telah diuruskan dari awal hingga akhir oleh Tabung Haji.

“Saya percaya ia bukanlah satu tugas yang mudah, kerana ia adalah satu urusan yang memerlukan penelitian kepada semua peringkat persediaan yang merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan mereka semasa di tanah suci sehinggalah mereka kembali semula ke tanah air,” katanya.

Hari ini seramai 483 jemaah haji dijadualkan berlepas menerusi penerbangan KT60B (XY5794) pada jam 6.30 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada jam 9.55 malam waktu Arab Saudi.