Manfaat kedudukan di Asean untuk pertingkat dagangan dengan China

Lim Gait Tong ' - Foto sumber internet
Lim Gait Tong ' - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu manfaatkan kedudukan kukuhnya di peringkat Asean bagi meningkatkan perdagangan dengan China yang berpenduduk sebanyak 1.3 bilion orang dan membuka lebih banyak pasaran e-dagang di peringkat pinggir bandar dan pedalaman.

Presiden Persatuan Perniagaan China-ASEAN (CABA) Tan Sri Lim Gait Tong berkata, dagangan China dengan ASEAN juga terbukti sudah berkembang pesat yang menyaksikan rantau ini muncul sebagai pengeksport terbesar ke China dan mengatasi Amerika Syarikat (AS).

"Kita perlu merangka dan melaksanakan strategi baharu. Ketika perdagangan China-Asean mendapat rangsangan baharu, negara-negara Asean sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada perdagangan intra-Asean serta membuka peluang perdagangan lain termasuk eksport ke negara-negara Asia dan Afrika lain," katanya kepada Bernama.

Jumlah perdagangan antara China dan Asean mencecah rekod tertinggi sebanyak US$587.87 bilion pada tahun lepas iaitu meningkat 14.1 peratus berbanding 2017.

Gait Tong juga percaya perdagangan China dan Asean akan terus meningkat dan melepasi nilai US$1 trilion.

Namun pada masa sama, beliau mengingkatkan walaupun dagangan Asean menyaksikan aliran peningkatan, ini bukan jaminan ia terus kekal positif terutamanya jika pertikaian antara AS dan China terus meruncing.

"Kita optimis, walaupun secara berhati-hati bahawa dagangan dengan China akan terus berkembang berikutan hubungan kukuh Malaysia dengan China," katanya.

Menyentuh perang perdagangan Washington dan Beijing yang belum menampakkan penyelesaian dalam masa terdekat ini, Gait Tong berkata, Malaysia sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas-asas inovasinya.

Artikel Berkaitan:

“Kita melakukan pengeluaran produk tulen (OEM) untuk negara-negara seperti Taiwan dan Jepun bagi satu tempoh yang lama. Saya percaya sudah tiba masanya untuk Malaysia membina imej jenamanya sendiri,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, pasaran perabot mempunyai potensi besar untuk terus meningkat terutamanya dalam pasaran Eropah jika aspek inovasi tempatan diutamakan.

“Ini kerana kita boleh mendapat lebih banyak nilai jika produk itu merupakan hasil inovasi dan direka oleh kita sendiri berbanding OEM,” katanya. - Bernama