UMNO tuju lagu Teman Sejati untuk Pas

Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun menerima cenderahati daripada Mat Nadzari ketika hadir mesyuarat agung itu yang menggunakan kain rentang bertulisan jawi di Dewan Kelab Gof Bukit Beruntung.
Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun menerima cenderahati daripada Mat Nadzari ketika hadir mesyuarat agung itu yang menggunakan kain rentang bertulisan jawi di Dewan Kelab Gof Bukit Beruntung.
A
A
A

BUKIT BERUNTUNG - UMNO Bahagian Hulu Selangor 'menghidangkan' lagu bertajuk Teman Sejati kepada Pas Kawasan Hulu Selangor yang hadir sebagai tetamu jemputan pada mesyuarat agung tahunan UMNO bahagian itu semalam.

Lirik lagu nyanyian kumpulan nasyid, Brothers itu turut diulangi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmiannya.

"Selama ini ku mencari-cari teman yang sejati buat menemani perjuangan suci.

"Bersyukur kini padaMu Illahi, teman yang dicari selama ini telah ku temui," katanya.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, parti komponen BN tidak perlu khuatir terhadap kerjasama UMNO dan Pas.

Menurutnya, hubungan UMNO dan Pas di negeri ini semakin intim dan satu jawatankuasa sekretariat kerjasama kedua-dua parti itu akan ditubuhkan secara rasmi minggu hadapan.

"Rakan komponen lain usah bimbang kerana UMNO tidak pernah melupakan rakan lain yang sudah lebih 61 tahun bersama.

"Ketika orang Melayu berpecah kepada 41 kumpulan pada 1946, kita tak ada kekuatan dan tak boleh mentadbir dengan baik serta tak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa diambil British.

Artikel Berkaitan:

"Bila orang Melayu bersatu, kita tak lupa kepada orang Cina dan India apabila kita bawa sekali ke London untuk tuntut kemerdekaan. Kita tak tamak dan kita semua telah sama-sama memerintah," katanya.

Mat Nadzari yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor berkata, beliau khuatir terhadap sistem polarisasi diamalkan kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini yang mewujudkan jurang perkauman.

Menurutnya, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan kerana menimbulkan prasangka buruk antara kaum.

"Dalam masa sama ahli UMNO jangan leka. Dalam erti kata, belum menang dah bersorak bila nampak UMNO dan Pas sudah kuat.

"Kerjasama ini satu perkara tapi ahli parti kena kerja kuat laksanakan tugas hakiki sebagai pemimpin dan ahli," katanya.

Hadir sama pada majlis itu delegasi MCA, MIC Bahagian Hulu Selangor dan Kongres India Muslim.